POLIS merampas ratusan barangan jenama mewah tiruan bernilai RM 1,412,000 dalam satu operasi di dalam sebuah premis di Kompleks Austin Perdana, Johor Bahru, pada 10.30 pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk S.M.M. Kumar berkata, operasi tersebut melibatkan sepasukan polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama wakil Cap Dagang Global Trade Sheild Sdn. Bhd.
Beliau berkata, pemeriksaan di hadapan lima individu termasuk penjaga dan pekerja premis berusia 20 hingga 47 tahun itu mendapati terdapat pelbagai barangan jenama tiruan disimpan di dalam premis berkenaan.
“Mereka juga menjual barangan secara atas talian dengan menggunakan platform media sosial sejak empat tahun lepas.
“Setiap beg, baju dan dompet yang dijual berharga RM350 hingga RM500.
“Kesemua barangan ini dipercayai diimport dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, antara barangan yang dirampas adalah 110 helai baju, lapan seluar, tujuh tali pinggang, lima dompet, empat topi, tujuh pasang selipar, 31 pasang kasut dan lima buah beg masing-masing berjenama Louis Vuitton.
“Selain itu terdapat 163 helai baju, tiga seluar, lima pasang kasut, lima pasang selipar berjenama Balenciaga.
“40 helai baju, tiga helai seluar, sebuah topi, dompet, beg, empat pasang kasut dan lapan pasang selipar berjenama Gucci.
“Sebuah dompet, empat buah beg, sepasang kasut, sebuah topi dan sehelai baju berjenama Chanel turut dirampas,” ujarnya.
Mengulas lanjut, modus operandi ini ialah menjalankan jualan pada waktu tengah hari serta malam dan sentiasa bersedia melarikan diri sekiranya kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagangan 2019 dan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

