KERAJAAN menegaskan pemberian insentif kepada pengeluar gula tempatan bagi gula putih bertapis hanya bersifat sementara bagi memastikan harga kawalan dikekalkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah pemberian insentif kepada dua buah syarikat itu mula dijalankan pada tahun 2023 sehingga sekarang.
Jelasnya, penglibatan KPDN bersandarkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 yang menetapkan harga gula putih bertapis kasar dan halus masing-masing pada kadar RM2.85 dan RM2.95 bagi setiap 1 kilogram.
“Ia (pemberian insentif ) dilaksanakan mengambil kira beberapa asas pertimbangan seperti mengelakkan kenaikan harga barang makanan terutamanya yang dijual oleh peniaga-peniaga mikro.
“Selain membantu pengeluar gula menangani isu kenaikan kos pengeluaran yang dihadapi seperti peningkatan amat tinggi harga gula mentah di pasaran global, kos bahan api dan logistik.
“Kerugian yang ditanggung oleh dua syarikat pengilang yang terlibat telah berlarutan lebih dua tahun dan ketika kerajaan memutuskan pemberian insentif khas…kos kerugian yang ditanggung telah mencecah RM1.50 bagi setiap pek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan 2025) di Dewan Negara, hari ini.
Baca artikel lain: 318 stesen pemancar telekomunikasi terkesan banjir telah mula beroperasi – Fahmi
Armizan menjawab cadangan Senator Dr Lingeshwaran Anusalam yang menyentuh soal kempen ‘War on Sugar’ iaitu mengurangkan insentif kepada pengeluar gula secara berperingkat dan menyalurkan penjimatan kepada Kementerian Kesihatan.
Katanya lagi, kerajaan mendukung kempen berkenaan namun perlu meneliti cadangan tersebut kerana harus mengambil kira impak dan risiko kenaikan harga barang makanan yang akan ditanggung oleh pengguna.
“Atas sebab itu, dalam menggerakkan kempen ‘War on Sugar’, kerajaan memulakan langkah dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula terlebih dahulu,” katanya.
Menyentuh soal pembelian minyak diesel, Armizan memberitahu, permit khas boleh dimohon bagi tujuan pembelian melebihi jumlah yang dihadkan.
Ujarnya, permit membolehkan mana-mana syarikat berskala kecil, organisasi dan individu yang layak membeli diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan selain tujuan jualan semula.
“Kemudahan ini terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
“Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari pembelian.
“Dalam hal ini, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan dari agensi yang berkaitan dan boleh mengemukakan permohonan melalui Sistem Permit Khas yang terkandung dalam portal KPDN – https://permitkhas.kpdn.gov.my,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

