SYOR agar pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh adalah sama seperti dalam laporan pasukan petugas khas berkenaan isu tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, laporan itu berkisar kepada hasil siasatan pasukan petugas khas Batu Puteh yang telah ditubuhkan pada 29 Oktober 2021 dan laporan akhir telah dibentang pada jemaah menteri pada 7 Oktober 2022.
Kata beliau, laporan tersebut telah dimulakan sewaktu zaman pentadbiran Perdana Menteri Ke-9 yang mana Ahli Parlimen Kota Bharu, Ahli Parlimen Larut, Ahli Parlimen Putrajaya adalah dalam kalangan ahli jemaah menteri pada ketika itu.
“Dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa hasil laporan daripada pasukan petugas khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Puteh. Bermaksud dari satu sudut, kedua-dua mendapati perkara yang sama.
“Laporan Pasukan Petugas Khas telah mengesyorkan agar ada pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dan ini juga apa yang telah disyorkan laporan RCI.
“Untuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Ahli Parlimen Larut dan Ahli Parlimen Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyorkan dalam RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sudah baca ketika berada dalam jemaah menteri, ini cukup mengganjilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat jemaah menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jemaah menteri pada hari ini juga telah memutuskan untuk mencadangkan kepada Peguam Negara bagi mempertimbang menyahkelas laporan akhir pasukan petugas khas berkenaan isu Batu Puteh.
Beliau berkata, penyahkelasan dokumen itu bersifat penuh kecuali bagi perkara-perkara berkaitan isu-isu diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

