KENDERAAN elektrik (EV) pertama negara keluaran Proton Holdings Berhad (Proton) iaitu e.MAS 7 akan menjadi kenderaan rasmi semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada majlis pelancaran e.MAS 7 hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia berhasrat untuk menjadi contoh kepada rantau ini bukan sahaja dalam menghasilkan kereta tetapi dari segi pembangunan EV.
Beliau berkata, penghasilan e.MAS 7 hadir pada masa tepat sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
“e.MAS 7 menjadi tunjang Ekonomi MADANI ke arah peralihan karbon. Justeru, EV pertama Malaysia ini akan menjadi kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu.
“Setinggi penghargaan kepada keluarga Proton yang belajar daripada pengalaman lalu dan mempromosikan kenderaan yang bukan sahaja moden ini tetapi juga kereta mesra alam sekitar.
“Dalam tempoh terdekat, saya juga gembira kerana kereta ini akan dibina di Tanjung Malim sekali gus meningkatkan mutu vendor tempatan menerusi perkongsian teknologi baharu dan kemahiran berkaitan EV,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran e.MAS 7 hari ini.

Baca artikel lain: Thaksin Shinawatra dilantik penasihat tidak rasmi Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN – PM
Ditawarkan pada harga bermula RM109,800, Proton e.MAS 7 tampil dengan dua pilihan iaitu varian Prime (bermula RM109,800) dan versi tertinggi Premium (RM123,800).
3,000 pelanggan terawal bakal menikmati rebat RM4,000 yang menyaksikan varian Prime bermula RM105,800 dan Premium bermula RM119,800.
Kedua-dua varian itu berkongsi unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12-dalam-1′ yang memacu roda hadapan dengan janaan sebanyak 218 PS (160kW) dan tork maksimum 320 Nm.
Konfigurasi itu cukup untuk membolehkan Proton e.MAS 7 memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat, sekali gus menjadikan ia model pengeluaran paling pantas PROTON setakat ini.
Dengan jentera yang dimiliki, Proton e.MAS 7 mampu memecut sehingga kelajuan maksimum 175 km/j.
Untuk jarak perjalanan, varian Proton e.MAS 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 kilometer, manakala e.Mas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 kilometer untuk cas penuh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

