TIADA lagi ‘pesta keluar masuk’ sempadan negara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan taklimat serta pemerhatian, beliau mendapati kegiatan merentas sempadan semakin berkurangan.
“Saya boleh beritahu di sini, berdasarkan pemerhatian memang kekurangan kegiatan merentas sempadan (susulan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang lokasi itu).
“Tiada lagi nampak macam ‘pesta keluar masuk’ sempadan tanpa sekatan (melalui pangkalan haram). Itu kita nampak tidak lagi berlaku depan mata kita.
“Namun kita masih berwaspada dan tidak akan membiarkan keadaan ini mengaburi mata kita dengan tidak menguruskan penugasan yang berkesan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Terima Tugas Komander PPM yang baharu di Markas PPM Wilayah 1 di Pulau Indah, hari ini.
Pada majlis itu beliau menyaksikan serah terima tugas di antara SAC Norzaid Muhammad Said yang bersara wajib bermula esok kepada Komander PPM yang baharu, SAC Shamsol Kassim.
Baca artikel lain: Thamaraj, Ahmad Fauzan dinaikkan pangkat Sarjan
Justeru katanya, penugasan dari segi rondaan dan pemantauan terus ditingkatkan keberkesanannya agar keberhasilannya dapat diperoleh.
“Namun kita (sentiasa) waspada dan tindakan dari masa ke semasa akan diambil.
“Tindakan tidak dapat dimaklumkan sekarang namun kita sudah mengatur inisiatif untuk mengekang perkara yang berlaku sebelum ini dari terus berlaku.
“Insya-Allah, dari masa ke semalam kita akan meningkatkan rondaan dan operasi agar perkara ini tidak lagi berlaku,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand dikuatkuasakan bermula pada 1 Disember lalu.
Sehubungan itu, mana-mana individu didapati merentas atau menggunakan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand itu akan ditahan.
Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi yang disabit kesalahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

