
DUA perhimpunan yang akan berlangsung iaitu Himpunan Bangkit Ummah di Kampung Baru hari ini dan Himpunan ‘Solidariti Bersama Najib’ Isnin ini di Putrajaya mencetuskan polemik antara parti-parti Melayu.
Kedua-dua perhimpunan itu melibatkan tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu.
Di Kampung Baru, satu perhimpunan aman dianjurkan oleh Solidariti Gerakan Bangkit Rakyat melibatkan Dewan Pemuda Pas Pusat dan Armada Bersatu bagi membantah tindakan pihak-pihak yang mengganggu-gugat keharmonian umat Islam di Malaysia.
Di Putrajaya, Pas ‘turun padang’ bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendengar keputusan rayuan beliau berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkannya bagi mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum.
Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16, Sultan Abdullah itu bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan perhimpunan di Kampung Baru itu sebagai tindakan kurang bertanggungjawab kerana berpotensi memanipulasi isu agama manakala bagi perhimpunan di Putrajaya pula, segelintir pemimpin DAP membidas UMNO manakala ada pemimpin UMNO menuduh Pas mahu ‘menangguk di air keruh’.
Ada pihak yang bimbang, perhimpunan itu akan mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu sekaligus boleh menggugat Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi hakikatnya, ia hanya kebimbangan tidak bertempat memandangkan perhimpunan di Kampung Baru sekadar menzahirkan protes dan bukannya usaha memanipulasi agama demi kepentingan politik sempit mana-mana parti.
Manakala himpunan di Putrajaya pula, hanyalah sekadar tanda sokongan kepada Najib dan mahu memastikan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong jika benar wujud dan sah dijunjung serta dilaksanakan.
Oleh itu tidak sepatutnya kedua-dua perhimpunan dibimbangi oleh mana-mana pihak dengan mencetuskan pelbagai tafsiran yang boleh mewujudkan ketegangan dalam arena politik tanah air. Sama ada perhimpunan bermotif politik atau tidak, ‘menangguk di air keruh’ atau tidak, biarlah rakyat khususnya orang Melayu menilainya. Tenang-tenang saja…

