Adakah itu bilik misteri yang dikunci dan menjadi bualan kakitangan kerana didiami ‘sesuatu’?

Dari Penulis

SELEPAS menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Petaling Jaya pada tahun 1993, nasib saya baik kerana telah diterima bekerja di salah sebuah bank di Kuala Lumpur.

Jika tak silap, seramai 80 orang pegawai baru telah diterima ketika itu. Seperti pegawai-pegawai baru yang lain, kami telah dihantar berkursus mengikut kumpulan masing-masing.

Kebiasaannya kami akan dihantar ke Bangi, Selangor kerana bank kami ada tempat latihan di sana. Kemudahan disediakan ala hotel menyebabkan kami berasa agak selesa semasa berkursus.

Saya pernah beberapa kali berkursus di Bangi. Namun pengalaman yang akan dikongsi ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1995. Saya perhatikan tidak ramai peserta yang hadir kali ini. Saya telah diberi sebuah bilik di tingkat atas. Mungkin hari masih awal, rakan sebilik saya masih belum mendaftarkan dirinya.

Setelah semua barang-barang disimpan ke dalam almari, saya terus merehatkan badan. Mungkin kerana tidak mengantuk, saya sukar untuk terlena. Masa terus berlalu hinggalah saya terdengar suara azan berkumandang. Saya lihat jam di dinding. Oh, dah masuk waktu Asar rupanya.

Setelah selesai menunaikan kewajipan, saya terus bersiap-siap untuk turun ke padang. Ketika saya hendak melangkah keluar bilik inilah saya terserempak dengan rakan sebilik.

Ah! ke mana pula dia nak pergi? Siap menggalas sebuah beg di bahunya. Nampak macam kelam kabut sahaja air mukanya. Tak sempat saya nak bertanya namanya. Tak apalah. Balik daripada bersukan bolehlah bersuai kenal, fikir saya. Sekurang-kurangnya lega juga saya kerana ada teman malam nanti.

Saya menghabiskan masa di padang sehingga hampir pukul 7.00 malam. Sekali-sekala dapat keluarkan peluh. Habis basah baju. Perlahan-lahan saya mengatur langkah ke bilik. Sambil kaki melangkah sambil itu fikiran saya menerawang.

Kebanyakan kakitangan bank tahu kisah tersebut. Ada sebuah bilik di situ yang sememangnya dikunci dan tidak dibenarkan sesiapa menginap di situ. Saya dimaklumkan ada makhluk halus yang mendiami bilik tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak tahu secara tepat nombor biliknya, tingkat berapa dan apakah gangguan yang berlaku.

Saya hanya diberitahu bahawa bilik tersebut berada di tingkat atas dan terletak berhampiran kolam. Lamunan saya terhenti apabila ternampak kawan sebilik saya keluar.

“Nak ke mana?” pendek soalan saya.

“Saya minta maaf. Saya kena pergi ke rumah saudara saya malam ni. Kebetulan rumahnya berada di sekitar Bangi,” selamba kawan saya memberi jawapan.        

“Alamak, terpaksalah saya tidur sorang diri malam ini,” bisik saya dalam hati.

Timbul rasa geram di hati saya. Mengapa kawan sebilik saya tak beritahu lebih awal. Jika saya tahu dari awal, saya tidak akan menginap di situ. Lebih-lebih lagi tinggal sendirian. Dengan hati yang berat saya terpaksa tinggal seorang diri. Selepas mandi dan makan malam, saya terus duduk di bilik. Lega kursus kali ini. Tiada kelas malam.

Oleh kerana mata belum mengantuk, saya belek nota kursus yang telah dibekalkan semasa pendaftaran petang tadi. Lama kelamaan, mata saya mulai berat.

Saya terus masuk tidur. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam. Oleh kerana bersendirian, saya tidak tutup lampu bilik. Biarlah terang benderang. Senang kalau berlaku apa-apa hal.

Bilik tidur dilengkapi dengan dua buah katil dan dipisahkan oleh dinding. Sementara dinding tersebut memisahkan kedua-dua katil dengan bilik air dan ruang basuh tangan yang dilekapkan cermin panjang pada dinding.

Baru saja saya hendak terlena, gegendang telinga saya menangkap satu bunyi dari bilik sebelah. Ah! mustahil. Mana mungkin bilik sebelah berbunyi. Seolah-olah kerusi diseret dan meja dialihkan. Bagi mendapatkan kepastian, saya pusatkan perhatian semula.

Gregggg! Gregggg!

Ya! Saya pasti. Bunyi tersebut datangnya dari bilik sebelah. Jantung saya mula berdegup kuat. Bulu roma meremang. Mana mungkin bunyi tersebut datangnya dari bilik sebelah. Bilik sebelah adalah bilik yang terletak di penghujung sekali. Setahu saya, tiada sesiapa yang tinggal di bilik itu.

Allahuakbar! Adakah bilik sebelah yang dikatakan misteri dan jadi bualan kakitangan bank selama ini?

Apatah lagi bilik tersebut terletak di hujung sekali dan menghadap sebuah kolam. Saya cuma tidak tahu bilik tersebut tingkat berapa sahaja. Kini semua tanda tanya seolah-olah telah terjawab. Keyakinan saya semakin menebal.

“Aku kena buat sesuatu. Takkan nak biarkan makhluk yang ada di sebelah masuk ke bilik,” bisik saya dalam hati.

Saya segera beristighfar. Pada kebiasaannya saya akan beristighfar sebanyak 10 kali. Namun, kali ini saya membaca sehingga diri saya kembali tenang. Terasa degupan jantung tidak sekuat tadi.

Saya teruskan pula membaca selawat sebanyak 10 kali. Selepas itu, saya baca surah al-Fatihah sebanyak tiga kali. Ketika ini saya masih dalam keadaan berbaring dengan selimut meliputi tubuh badan hingga ke paras leher. Saya juga tidak menghiraukan bunyi yang datang dari bilik sebelah.

Seterusnya saya bacakan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali diikuti dengan surah al-Falaq sekali dan surah an-Nas sekali. Sebagai penutup, saya bacakan ayat Kursi sebanyak tujuh kali dengan membayangkan keadaan bilik tersebut.

Saya masih ingat nasihat abang saya agar jadikan amalan membaca ayat Kursi sebagai basahan mulut tanpa mengira di mana berada. Saya terus membaca ayat Kursi dengan yakin bahawa tiada satu makhluk yang berniat jahat  mampu menembusi dinding tebal yang dibina mengelilingi bilik tersebut.

Segenap penjuru yang empat serta bumbung dan lantai telah siap dibina dinding tebal. Sebelum saya bacakan ayat Kursi ketujuh, saya biarkan beberapa minit dengan niat agar mana-mana makhluk yang berniat buruk yang berada dalam bilik keluar segera. Ayat Kursi ketujuh akan meliputi bilik tersebut seumpama ombak laut yang bergelora kuat dan ganas hinggakan tiada makhluk yang berniat buruk mampu menembusinya.

Ketika menanti beberapa minit inilah secara tiba-tiba bunyi cermin pecah memecah kesunyian malam.

Pranggggg!!!

Serta-merta semangat saya berterbangan hilang entah ke mana. Bayangkan sebuah cermin besar dan panjang seperti di tandas awam dilepaskan ke lantai dari paras tinggi.

Saya segera terbayang cermin di luar bilik air. Adakah benar ada cermin yang pecah atau saya cuba dipermainkan oleh makhluk tersebut. Lama juga saya terkejut.

Setelah saya kembali tenang barulah saya bacakan ayat Kursi yang ketujuh. Selepas itu tiada lagi kedengaran apa-apa bunyi dari bilik sebelah. Saya tetap tidak bangun dari katil.

Malam itu terasa begitu panjang. Saya tidak pasti sama ada dapat melelapkan mata. Hanya lampu yang terus setia sepanjang malam menemani saya hingga keesokan harinya.

Azan Subuh telah memberikan saya keberanian untuk meninjau apakah yang sebenarnya berlaku. Adakah memang benar ada cermin jatuh kerana skru-skrunya telah longgar? Perlahan-lahan saya bangun dari katil. Dengan hati yang berat saya mengatur langkah.

Argh! Benar jangkaan saya. Ada yang cuba mempermainkan saya malam tadi. Kali ini saya nekad. Saya tidak akan tidur di bilik tersebut buat kali kedua. Saya terus menelefon kawan saya, Shahrul agar menjemput saya di sebelah petang.

Biarlah saya datang semula ke tempat latihan bank keesokan paginya. Tak sanggup rasanya hendak tempuh peristiwa semalam buat kali kedua. – Wan Mud Shardihan Wan Dahalan

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This