KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan berhubung kewujudan Titah Adendum untuk Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar memberi tamparan hebat kepada kerajaan.
Kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu memberi kesan signifikan terhadap kerajaan.
Isu tersebut tidak boleh dipandang remeh, malah boleh menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika tidak ditangani sewajarnya, mungkin igauan ‘Langkah Sheraton’ pada tahun 2020 kembali menghantui Pakatan Harapan (PH).
Hakikatnya, telah hampir setahun Titah Adendum itu dikeluarkan, kerajaan sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik untuk menguruskannya.
Dengan ‘tidak berbuat apa-apa’, ia telah semakin ‘membengkak’ hinggalah membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan sebentar tadi.
Realitinya, kehadiran ribuan penyokong Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya jelas menunjukkan bahawa bekas Perdana Menteri itu masih ada pengaruhnya.
Masakan tidak, walaupun sudah hampir tujuh tahun bukan lagi ketua kerajaan, isu melibatkan Najib telah ‘menyatukan’ bukan sahaja penyokong beliau, tetapi juga ‘musuh-musuh’ politik di pihak Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan bakal berhadapan tempoh sukar dalam beberapa bulan mendatang di saat negara bakal menerima kunjungan pemimpin-pemimpin serantau sebagai Pengerusi ASEAN.
Sudah pasti isu ini akan terus dimainkan PN dalam usaha mereka ‘memancing’ sokongan.
Spekulasi turut bertiup bahawa Pas menjadikan himpunan solidariti untuk Najib bagi menarik sokongan UMNO terutama penyokong bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Baca artikel lain: Titah Adendum: Mahkamah Rayuan mulakan prosiding dengar permohonan Najib kemuka bukti tambahan
Mungkin satu ‘kelegaan’ bagi Anwar adalah penegasan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg untuk Ahli Parlimen Tambun itu berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Tetapi politik itu sifatnya dinamik. Jika sebelum 2022, rakyat tidak pernah bermimpi UMNO dan DAP boleh berada dalam kerajaan yang sama, ia juga boleh kembali berlaku sebaliknya.
Tugas mencabar buat Anwar sehingga Parlimen dibubarkan kira-kira dua tahun lagi adalah untuk memastikan ‘bidak catur’ yang digerakkan membuahkan hasil.
Bukan sahaja dari segi menarik hati dan sokongan rakyat, tetapi juga pemain-pemain politik yang sentiasa mencari ruang ke puncak kuasa.
Tidak boleh dinafikan sepanjang dua tahun pentadbiran, situasi politik yang stabil telah meletakkan Malaysia kembali berada pada landasan sepatutnya untuk terus berkembang.
Pelan ekonomi jangka pendek dan panjang; jumlah pelaburan dan tadbir urus yang baik telah memberi manfaat positif buat negara.
Bagaimanapun, itu semua boleh ‘lenyap sekelip mata’ jika urusan politik kembali mengganggu dan tidak diuruskan sebaiknya.
Jika tidak secara ‘tebuk atap’ sekalipun, kerajaan perlu bersiap sedia menerima apa sahaja keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Silap buat percaturan, hilanglah semuanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

