TIMBALAN Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta agensi di bawahnya telah meneruskan jelajah PETRA Skuad Zon Selatan ke Johor semalam.
PETRA dalam kenyataan memaklumkan, jelajah selama dua hari bermula 11 hingga 12 Januari itu merupakan kesinambungan kepada siri pertama jelajah diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 16 November lalu di Melaka.
Menurut kenyataan itu, fokus jelajah kali ini adalah bagi meninjau perkembangan semasa sektor tenaga terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu dan pemantaun agenda penguatkuasaan sektor tenaga, air serta pembetungan di lapangan.
Jelas kenyataan tersebut, tinjauan PETRA Skuad ke lokasi pertama adalah di ChargeEV Tangkak Pitstop bagi melihat usaha integrasi pembangunan stesen pengecas ChargeEV antara Majlis Daerah Tangkak dan pembekal perkhidmatan pengecas kenderaan elektrik (EV).
“Kemudahan hentian tersebut sedang dalam proses akhir pematuhan regulatori di mana permohonan lesen awam kepada Suruhanjaya Tenaga sedang dilakukan sebelum proses testing and commissioning (T&T) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, lokasi kedua pula adalah Johor Premium Outlet (JPO), Kulai bagi meninjau pepasangan sistem solar di bumbung berkapasiti 2,6999kWp di bawah Program Solar for Self-consumption (SelCo) yang diperkenalkan kerajaan.
Menurut PETRA, pepasangan sistem solar itu merupakan antara yang terbesar di Malaysia dan dianggarkan dapat menjana serta menghasilkan 3,290MWj bekalan elektrik setahun dengan anggaran penjimatan bil dalam lingkungan RM1.5 juta.
PETRA memaklumkan, ia juga dianggar mengurangkan penebus gunaan kira-kira tiga hektar (enam ekar) tanah serta penghindaran karbon sebanyak 2,604 matrik tan setahun.
Di samping itu, rombongan PETRA Skuad juga telah mengadakan tinjauan ke Southern Power Generation@Stesen Janakuasa Sultan Ibrahim, Pasir Gudang yang merupakan loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric.
PETRA Skuad turut singgah ke Senibong Switching Station 230kv iaitu stesen Sambung tara antara Semenanjung Malaysia dan Singapura yang mempunyai kapasiti berkemampuan 1,000 MW.
Menurut PETRA, Power Exchange antara Malaysia dan Singapura merujuk kepada perdagangan elektrik, khususnya tenaga hijau, melalui platform Energy
Exchange Malaysia (ENEGEM).
Jelas PETRA, ini membolehkan pengeluar tenaga Malaysia menjual tenaga boleh baharu terus kepada Singapura melalui proses bidaan, dengan Sembcorp Power bertindak sebagai pengimport tenaga elektrik di Singapura.
“Pertukaran ini adalah sebahagian daripada Skim Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy Scheme (CBES RE) yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia, yang memudahkan integrasi ASEAN Power Grid (APG).
“Pemantauan agenda penguatkuasaan turut menjadi tumpuan agenda turun padang jelajah PETRA Skuad di Johor yang mana tinjauan inisiatif
pemasangan Smart Metering Tenaga di bawah TNB diadakan di Pencawang Dato Onn Perjiranan 4 No.1, Bandar Dato Onn, Johor Bahru,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, pada hari kedua (12 Januari), rombongan PETRA Skuad Zon Selatan ke Johor akan mengadakan tinjauan ke Loji Rawatan Kumbahan
Indah Water Konsortium (IWK) di Jalan Hijau, Taman Pelangi seterusnya ke Dewan Semai Bakti, FELDA Ulu Penggeli, Kluang bagi Program Bersama Rakyat @ PETRA Skuad.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

