Aku warganegara kelas kedua – realiti atau pemangsaan kendiri?

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

SEBAGAI tanda kasih kepada sahabat, seseorang mahupun pemimpin, kita tentunya akan memuji apabila sesuatu yang baik dilakukan olehnya.

Tidak cukup dengan itu, kita tentunya akan menasihat, menegur jika ada sesuatu yang tidak kena. Aku pun sama. Tidak mahu menjadi seperti dalam cerita “pembesar dengan baju baharunya”.

“Cantik baju beta?. “Cantik Tuanku,” jawab pembesar walaupun sedar raja sebenarnya berlenggeng, tidak berbaju. Itulah mengampu namanya. Sebab itulah di samping mengakui dan memuji yang baik, aku tetap menegur dalam tulisanku.

Terserah mahu diterima atau tidak. Memanglah ibarat luka itu jika diusap, dibelai lembut, terus dibalut kemas tidak terasa pedihnya tetapi akhirnya terus bernanah dan mudarat.

Luka yang dibasuh air iodin pula, disapu ubat, akan terasa pedihnya tetapi akan sembuh akhirnya. Pilihlah yang mana satu anda suka.

Satu ketika dahulu Tun Musa Hitam semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri (1981-1986) difahamkan pernah berkata, berikan saya semua harta yang kamu ada dan sebagai tukar ganti, ambillah warganegara kelas pertama yang kononnya milik saya.

Semasa itu semacam ada isu pertikaian bahawa warganegara Melayu dikatakan memiliki kelas pertama sedangkan mereka yang lain hanya menjadi rakyat Malaysia kelas kedua?

Nampaknya peristiwa kira-kira 40 tahun dahulu masih kekal dan berulang lagi sehingga baru-baru ini Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan turut mengaitkannya dengan bantuan berjumlah RM4.88 juta kepada 9 buah sekolah menengah persendirian Cina di Perak (purata setiap sekolah mendapat RM482,222).

Aneh sekali antara alasan yang diberi ialah agar mereka tidak lagi berasa sebagai kelas kedua di samping menghargai sumbangan dalam bidang pendidikan?

Memanglah dari segi realitinya ada sumbangan terhadap dunia pendidikan. Tetapi seperti yang pernah dikaji termasuk oleh Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong, ada kendala besar berkaitan sekolah dan sistem vernakular yang diamalkan.

Malah ada kesan amat negatif tentang penguasaan bahasa Melayu, bahasa rasmi bagi mereka yang mengikutinya. Kejayaannya amat kecil untuk dibanggakan dan diberi sumbangan dan seolah-olah menghargai segala kendala dan kepincangan?

Baca artikel lain: Bahasa kebangsaan imej negara berdaulat

Seterusnya benarkah mereka seperti yang mereka anggap sejak dahulu sehingga sekarang iaitu mereka adalah warganegara kelas kedua? Apakah kayu ukur yang digunakan?

Jika pemilikan kekayaan yang digunakan, jelas daripada 50 orang terkaya di Malaysia, hanya 3 orang sahaja Melayu. Itu pun di kedudukan ke-15, ke-28 dan ke-32, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari, Syed Azman Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim.

Justeru siapa sebenarnya pemilik majoriti kekayaan di bumi Melayu ini? Jika majoriti penduduk memanglah bangsa Melayu yang majoriti tetapi penguasaan ekonomi dan kekayaan pastilah bukanlah milik majoriti orang Melayu.

Tentang penguasaan politik kerajaan juga sebenarnya turut dikongsi secara bersama-sama mengikut undi yang dimiliki dalam pilihan raya.

Jika diukur tentang kesetiaan kepada raja dan negara secara umumnya sukar kerana ini adalah abstrak walaupun boleh juga dilihat akan petanda tentang sejauh mana penghormatan terhadap unsur jati diri negara seperti bahasa rasmi, khususnya dari segi amalan dan penerimaan.

Jelas ada pihak yang menolak secara mentah dan terangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan, menolak dengan keras tulisan jawi walaupun cuma beberapa muka surat sedangkan itu sebahagian daripada tulisan asal bahasa Melayu.

Malah ada yang membawanya ke mahkamah, ditentang habis-habisan tetapi tulisan dan bahasa sendiri tiada secebis pun kompromi kecuali yang tertakluk dengan undang-undang dan peraturan. Itupun sehabis daya cuba ditentang juga.

Dasar pendidikan kebangsaan dan perpaduan sebenar sejak kecil diketepikan demi kepentingan kelompok sendiri berbanding kepentingan negara seluruhnya. Di manakah semangat setiakawan dan kecintaan sejati unsur jati diri negara ini? Mengapa mahu dijunjung lagi jati diri yang lain?

Justeru apalah maknanya cubaan mengambil hati selama 70 tahun dan tunduk dengan bebanan timpaan perasaan yang dibuat-buat sendiri oleh sang kiasu yang berpuluh tahun tak pernah puas hati.

Ikut adatnya sang kiasu tidak akan puas hati sampai bila-bila dan akan terus memohon simpati dengan pelbagai strategi termasuk menjadikan diri sendiri sebagai mangsa pula kepada pemangsa yang tidak pernah ada?

Kalau sistem kebangsaan dipatuhi wajarlah bantuan diberikan, inikan pula pelanggaran sistem tetap dipertahan, dimunasabahkan dan kerana itu imbuhan seolah-olah patut diberikan merupakan sesuatu yang aneh, amat tidak adil khasnya bagi mereka yang merupakan ibu bapa dan pelajar Tionghua yang tetap setia memilih sistem kebangsaan berbanding sistem vernakular.

Mereka itu yang patut dihargai dengan sumbangan dan bukannya sekolah persendirian yang umumnya kaya raya, mewah dengan prasarana berbanding dengan sekolah kebangsaan dan apatah lagi sekolah agama dan Tahfiz yang umumnya maha daif.

Peruntukan sekolah agama difahamkan agak banyak iaitu seperti dilapor oleh JAKIM sebanyak RM5.36 juta kepada 874 buah sekolah dengan setiap sekolah menerima antara RM1901 hingga RM15,421 bergantung jumlah pelajar.

Namun realitinya sejumlah besar bantuan tersebut difahamkan belum pun diterima oleh pihak sekolah berkenaan iaitu lebih 2700 buah sekolah seperti dilapor pada Oktober 2024?

Justeru pihak sekolah difahamkan masih menanti baki peruntukan kira-kira RM143 juta lagi untuk dinikmati sepenuhnya.

Sekolah kebangsaan di seluruh negara yang daif masih banyak dan sekolah agama juga wajib dibantu sepenuhnya selaras dengan peruntukan suci, agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagai punca kuasanya yang tidak wajar dipertikaikan oleh sesiapa pun berbanding sesuatu yang tidak berpunca kuasa daripada Perlembagaan.

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This