PELAKON Farid Kamil mengambil keputusan untuk melantik peguam bagi menjadi wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya.
Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid memberitahu, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.
“Prosiding hari ini berjalan seperti biasa, dan kita sudah selesaikan pelantikan JKP. Bagi pihak Farid Kamil kami melantik peguam sebagai JKP dan proses JKP akan dijalankan di Pejabat Agama,” katanya kepada UtusanTV.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding sebutan pelantikan JKP bagi pihak Farid Kamil selesai di hadapan Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin, pagi tadi.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Menurut Fakhrul, keputusan untuk melantik peguam sebagai wakil JKP kepada pelakon filem ‘Lagenda Budak Setan’ tu selepas mempertimbangkan ahli-ahli keluarga yang sibuk dengan komitmen masing-masing.
Dalam pada itu, Fakhrul berkata peguam yang dilantik itu merupakan salah seorang peguam daripada firma guaman beliau sendiri.
Sementara itu, Farid Kamil menyatakan harapannya agar satu keputusan yang terbaik dapat diperoleh menerusi JKP tersebut.
“Proses JKP ini proses yang biasa dilakukan di mahkamah untuk menuju ke arah pendamaian dan mencari solusi bagi mendapat keputusan yang terbaik. Jadi, saya mengaharapkan doa-doa yang terbaik,” ujarnya ringkas.
Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle.
Bagaimanapun, Diana dikecualikan kehadirannya ke mahkamah hari ini memandangkan telah melantik wakil JKP pada tarikh sebutan sebelum ini.
Sebelum ini pada 16 Disember lalu, pasangan selebriti itu diarahkan untuk melantik JKP susulan pendirian Farid yang tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya itu buat kali kedua.
UtusanTV sebelum ini melaporkan Diana Danielle sekali lagi nekad memfailkan permohonan rujuk dan permohonan cerai buat kali kedua ekoran tiada lagi persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Oktober tahun lalu, kisah kemelut rumah tangga pasangan pelakon ini kembali hangat apabila Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi satu di Instagram Story miliknya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana memfailkan permohonan cerai buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari ekoran tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Kemudian pada 10 Ogos 2023, Farid dan Diana sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet namun mereka rujuk sebulan kemudian.
Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 44, dan Diana Danielle atau sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

