DESAKAN supaya Datuk Seri Mohamad Sabu meletakkan jawatan selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya kerajaan menghalang Himpunan Rakyat Benci Rasuah, Sabtu ini disifatkan sebagai tidak relevan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, desakan disuarakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin adalah cara politik lama apabila tidak lagi berjawatan.
“Saya yakin Hanipa tidak akan letak jawatan jika perhimpunan anti rasuah diteruskan masa dia jadi Timbalan Menteri yang jaga Undang-Undang dulu.
“Patut Hanipa cabar pihak penganjur buatlah demo di Padang Merbok. Tiada siapa yang melarang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Mohd Puad turut mempersoalkan tindakan penganjur untuk mengadakan himpunan itu di hadapan Sogo dan Dataran Merdeka.
“Kamu kenalah minta kebenaran Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Itu isu dasar yang kamu bekas Timbalan Menteri Undang-Undang amat maklum.
“Tidak perlu ungkit kamu turun naik mahkamah kerana membela Mat Sabu kerana sering buat demonstrasi haram dulu.
“Pokoknya kamu teruslah membela mereka yang menganjur perhimpunan di lokasi yang dilarang bila kena dakwa nanti,” katanya.
Semalam, Hanipa mendesak Mohamad yang juga Presiden Amanah berundur sebagai menteri sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan antirasuah pada 25 Januari ini.
Baca artikel lain: ‘Manifestasi hak rakyat’, Pemuda Pas umum turut serta Himpunan Rakyat Benci Rasuah
Menurut Hanipa, dia telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam mewakili Mohamad yang pernah terlibat dalam siri-siri perhimpunan aman sebelum ini.
Justeru katanya adalah wajar bagi Mohamad meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya perhimpunan anjuran Bersih dan Suaram itu dihalang.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak penganjur perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini, agar mematuhi setiap peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata aspek pematuhan tersebut meliputi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan pihak polis.
Media sebelum ini melaporkan bahawa satu perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadual berlangsung pada 25 Januari.
Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman pula mengesahkan telah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu.
Namun begitu, katanya, semakan yang dibuat mendapati notis pemberitahuan perhimpunan itu tidak lengkap dengan tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

