PERBICARAAN kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan dengan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya akan bermula pada 3 Februari (Isnin) ini di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Februari dan Mac ini, sementara pelupusan notis usul bagi membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Oleh kerana, permohonan (notis usul) itu masih belum didengar di Mahkamah Tinggi (Shah Alam), mahkamah akan teruskan dengan perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari ini,” kata Syahliza semasa sebutan kes itu.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes berkenaan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac ini.
Terdahulu, Haresh memohon tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac dilapangkan kerana jika diteruskan, ia akan memprejudiskan kedua-dua anak guamnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Baca artikel lain: Abai Zayn Rayyan: Isma, Zaim mohon dibebaskan serta-merta
Menerusi notis usul itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira memohon mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Antara alasan lain dikemukakan ialah pertuduhan yang dihadapi mereka tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi mengenai sebarang unsur kesalahan di bawah Seksyen 31.
Pada 13 Jun tahun lepas, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

