DUA dekad mengusahakan perkhidmatan makanan atau katering, syarikat Zai Sri Gemilang akui pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi sebelum berada di posisi sekarang.
Ujar Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datin Hajah Zaiton Abdul Rahman, dia membina empayar perniagaannya itu bermula dari sebuah restoran di Seksyen 8, Shah Alam pada tahun 2004.
“Saya sendiri pergi ke pasar membeli barangan mentah sebelum pulang ke rumah menyediakan masakan untuk jualan.
“Selepas setahun, saya mula megambil tempahan katering secara kecil-kecilan.
“Bermula dari situlah, Alhamdulillah, kini kami mampu menjamu bagi majlis perkahwinan dan acara korporat berskala besar,” katanya yang bersyukur mendapat dokongan penuh daripada suami tercinta dalam industri tersebut.
Biarpun sibuk dengan perniagaan, Zaiton akan memastikan masanya akan dibahagikan bersama keluarga.
Malah, dia juga turut memberi sokongan kepada keluarga terutama dalam libat urus bisnes yang diusahakan.
“Saya akan pastikan dapat luangkan masa bersama dan bercuti dengan keluarga pada hujung minggu. Inilah masa saya berkumpul dengan mereka.
“Selain itu, saya juga akan libatkan ahli keluarga dalam majlis-majlis syarikat untuk sama-sama ambil tahu dan menyumbang idea kepada perkembangan syarikat,” kongsinya.
Zaiton turut menitipkan pesanan kepada pengusaha syarikat untuk perbanyakkan sabar selain tidak lokek mendidik diri dan pekerja.
“Selain persiapkan diri dengan ilmu-ilmu perniagaan, kita juga perlu mendidik dan mengajar kakitangan dengan sikap sabar dan penuh berhemah.
“Selain syarikat makin berkembang, hubungan sesama kakitangan juga turut bertambah erat dan baik,” luahnya.

