LANGKAH Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya negara itu ‘mengambil alih dan memiliki Gaza’ sebagai sebahagian ‘rancangan pembangunan semula disifatkan bukan sahaja tindakan melulu tetapi manifestasi keangkuhan imperialisme yang ketara.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, cadangan terbaharu Trump itu sekali gus mencerminkan keangkuhan neokolonial yang luar biasa, kejahilan sejarah yang jelas serta penghinaan terhadap kedaulatan rakyat Palestin.
Tegas Ahmad Fadhli, idea bahawa AS iaitu negara yang telah lama membekalkan senjata kepada Israel dan membiayai penindasan rakyat Palestin kini boleh muncul sebagai ‘pemilik’ baharu Gaza adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Justeru, beliau berkata, Pas mengecam sekeras-kerasnya cadangan itu dan menegaskan sokongan penuh kepada kedaulatan Palestin, perjuangan menentang kezaliman Zionis serta pembebasan setiap inci tanah Palestin.
“Adakah Trump menyangka bahawa rakyat Palestin yang telah menderita akibat pendudukan kejam, kepungan dan pengeboman tanpa henti akan menerima AS sebagai tuan baharu mereka?
“Atau adakah dia fikir bahawa selepas membiayai pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza, dunia akan melihat Washington sebagai penyelamat yang baik hati?
“Keangkuhan ini sangat menakjubkan tetapi ini adalah orang yang sama yang percaya bahawa Mexico akan membayar untuk tembok sempadannya.
“Tidak kira Trump, (Joe) Biden atau mana-mana kuasa Barat, tiada siapa yang berhak menentukan masa depan Gaza. Palestin milik rakyat Palestin dan tiada sebarang propaganda imperialisme yang dapat mengubah hakikat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Trump tandatangan perintah eksekutif tangguh larangan Tiktok
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Trump jelas sekali melihat perjuangan rakyat Palestin sebagai satu peluang perniagaan iaitu satu kesempatan untuk ‘membangunkan semula’ tanah itu seolah-olah ia hanya satu lagi projek Trump Tower.
Jelas beliau, rakyat Gaza tidak memerlukan penjajah baharu dari Barat sebaliknya mereka memerlukan keadilan, hak menentukan nasib sendiri dan pengakhiran kepada pendudukan, aparteid serta pembunuhan beramai-ramai.
“Mungkin dia (Trump) membayangkan sebuah sebuah kasino besar di tengah-tengah runtuhan Gaza dengan ‘Trump Gaza Resort’ berdiri megah di atas kubur rakyat Palestin yang terkorban.
“Namun, biar jelas, Gaza bukan miliknya untuk diambil, Palestin bukan untuk dijual. Darah ribuan rakyat tidak boleh dipadamkan dengan janji-janji pembangunan semula yang kosong.
“Bagi mereka yang telah lama melihat dasar luar AS sebagai alat perluasan kuasa Zionis, kenyataan Trump ini hanyalah satu lagi bukti sikap tidak peduli Barat terhadap nyawa rakyat Palestin,” katanya.
Terdahulu, Trump semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada Selasa mengemukakan cadangan agar AS mengambil alih Gaza.
Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain walaupun rakyat Palestin, Mesir dan Jordan menolak cadangan tersebut.
Selain itu, Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan.
Arab Saudi bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara Palestin belum ditubuhkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

