PAS menegaskan bahawa cabaran yang bakal menanti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bukanlah kecil.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ada beberapa kes menarik perhatian umum dan dilihat besar untuk diselesaikan oleh suruhanjaya tersebut.
“Tahniah diucapkan atas pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
“Semoga amanah besar ini dapat digalas dengan penuh integriti, ketegasan dan kebijaksanaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara.
“Semua isu ini wajar disiasat dengan adil dan menyeluruh dan didedahkan penemuannya kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya lagi, pendekatan yang bebas daripada campur tangan serta berlandaskan prinsip keadilan akan menjadi kunci untuk mengembalikan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat.
“Semoga kepimpinan baharu ini mampu membawa pembaharuan yang signifikan dan memastikan SPRM kekal sebagai institusi yang dihormati, bebas dan berwibawa,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa pada 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

