DUA individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan fitnah melibatkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Memetik laporan Sinar Harian Online, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, ia berhubung dua laporan polis yang telah diterima pihaknya sebelum ini.
Menurut Hussein, laporan berkenaan telah diterima daripada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan).
“Kita telah merakam keterangan dua pengadu terbabit berkenaan kes itu dan akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan sebagai Naib Canselor UKM, beberapa hari lalu.
Baca artikel lain: Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM
Zambry berkata pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad.
Mohd Ekhwan kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.
Beliau turut memaklumkan satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dibuat berhubung fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan ada salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd Ekhwan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

