LASKAR Kanan TNL Norfaizzul Abd Razak yang merupakan atlet sepak takraw telah dipilih sebagai Olahragawan Sukan 2024 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semalam.
Anugerah Olahragawati Sukan 2024 TLDM pula telah dianugerahkan kepada atlet menembak, Bintara Muda TNL Missy Jaafar.
Kedua-dua atlet tersebut telah menerima trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dalam Malam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan TLDM Tahun 2024 yang telah dilaksanakan di Auditorium M Sidek Shabudin, KD Pelandok, semalam.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.
Menurut TLDM, majlis berkenaan diadakan bagi menghargai sumbangan persatuan sukan TLDM sepanjang tahun 2024 serta memperkukuh hubungan silaturrahim antara ahli persatuan dengan pengurusan tertinggi TLDM.
“Selain itu, majlis ini turut menjadi platform untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada persatuan sukan TLDM dalam usaha mengekalkan kejuaraan kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan (ISG) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baca artikel lain: Kapal usang, kesilapan pandu arah punca KD Pendekar karam – TLDM
“Anugerah Jurulatih Sukan Terbaik TLDM 2024 pula dimenangi oleh PW II TLR Mohd Zahir @ Sulaiman Safinyi daripada sukan sepak takraw yang turut membawa pulang trofi dan wang tunai.
“Persatuan Menembak TLDM pula berjaya merangkul Anugerah Persatuan Sukan Terbaik TLDM 2024 dan Anugerah Khas Pencapaian Luar Jangkaan 2024 dimenangi Persatuan Petanque TLDM,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, TLDM memberitahu, pemilihan setiap pemenang adalah berdasarkan pencapaian atlet dan persatuan sukan sepanjang 2024.
Katanya, pelbagai aspek telah dinilai termasuk kesungguhan dan komitmen di luar kebiasaan dan kemampuan dalam menghasilkan prestasi yang membanggakan perkhidmatan.
“Majlis tersebut menjadi wadah untuk menzahirkan penghargaan kepada semua atlet dan persatuan sukan TLDM atas pencapaian cemerlang yang membawa kepada kejayaan mempertahankan kejuaraan kejohanan ISG ATM untuk kali ke-15 berturut-turut, satu pencapaian yang amat membanggakan dan sukar ditandingi.
“Dalam ucapan beliau, Timbalan Panglima Tentera Laut telah menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian TLDM dalam kejohanan ISG tahun lepas.
“Beliau turut menyeru agar semua persatuan sukan mengekalkan momentum yang cemerlang dan pada masa yang sama sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meningkatkan prestasi atlet masing- masing,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

