
Oleh Roslan Shahir Mohd Shahir
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu hampir semua parti lain sedikit sebanyak terjejas prestasi masing-masing atas beberapa faktor. Barisan Nasional (BN) dari 79 kerusi tinggal 30, DAP 42 ke 40. Satu-satu parti yang mencatatkan prestasi peningkatan luar biasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan PRN enam negeri kemudiannya adalah Pas.
Pas melonjak jumlah bilangan kerusi Parlimennya dari 18 pada PRU14 ke 43 iaitu pencapaian terbesar dalam sejarah sejak penubuhannya. Begitu juga Pas bukan sekadar terbit mempertahankan negeri-negeri tradisinya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah malah berjaya menguasai Perlis buat pertama kali dan hampir menang atas nama PN di Perak dan Pahang. Pas ada perwakilan sama ada Parlimen atau negeri hampir di semua negeri kecuali Sarawak.

Semua penganalisa politik setuju inilah pencapaian Pas yang terbaik dan ia kini terbit sebagai suara atau jurucakap umat Melayu menggantikan peranan UMNO sebelum ini. Keyakinan orang Melayu terhadap Pas dijangka terus meningkat selepas ini. Suka atau tidak pencapaian ini dicapai ketika Pas dipimpin oleh dua regu padu kepemimpinan parti tersebut iaitu Presiden Tan Sri AbdulHadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kombinasi seperti ini dahulunya ada pada gandingan Almarhum Dr. Burhanuddin al Helmi dan Almarhum Prof. Zulkifli Mohamad, yang berjaya menjadikan Pas parti pembangkang terbesar di Parlimen dalam PRU pertama 1959 selain menguasai Kelantan dan Terengganu. Hari ini kedua tokoh Pas ini membawa Pas ke mercu lebih tinggi lagi.
Kombinasi mantap Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim yang istiqamah dan dihormati ramai ini telah berjaya membawa Pas menerobosi segala tembok yang menghalangnya untuk menjadi juara mewakili suara majoriti umat Melayu Islam sehingga ramai ahli dan penyokong UMNO khasnya memberikan undi serta sokongan kepada Pas pada PRU lalu.
Ahli dan akar umbi Pas yang berdisiplin dan cukup terlatih mudah dan senang menerima pengarahan serta karisma kedua-dua tokoh ini sehingga jenteranya di semua peringkat berjaya berjalan lancar bukan sekadar memenangkan calon-calon Pas malah membantu kemenangan sebahagian besar calon-calon Bersatu. Tidak semua parti mampu menggembeling kekuatan seperti ini.
Berikutan prestasi cemerlang tersebut tidak ada sebab kedua-dua pimpinan tertinggi itu tidak dikekalkan oleh perwakilan Pas dalam muktamar pemilihan parti September ini.
Saya bersetuju dengan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Pas memerlukan kedua regu ini. Benar Perlembagaan Pas tidak menghalang pertandingan untuk semua jawatan tertinggi parti namun yang akan menentukannya nanti adalah pencalonan dari awasan-kawasan Pas seluruh negara.
Mengenali akar umbi Pas, saya terlalu yakin permata yang di tangan tidak akan mereka sia-siakan malah akan terus digilap sehingga bak rangkap senikata lagu Pas …. “hingga nyata benarnya janji Rabbi”. Kepimpinan Pas insya-Allah ditentukan ahli-ahli Pas!

