17 FEBRUARI 2025 – Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid, guru dan warga sekolah untuk sesi 2025/2026. Hampir lima juta murid memulakan sesi persekolahan di seluruh negara yang bermula semalam dan hari ini.
Pendidikan adalah hak asasi manusia yang asas. Setiap negara mempunyai sistem pendidikan dan cara pelaksanaannya sendiri, malah ada yang mempunyai keunikan tersendiri.
Berikut beberapa fakta menarik tentang sekolah di seluruh dunia :-
1.Sekolah Udara di Australia

Di Australia ada acara unik untuk menyediakan pendidikan bagi golongan pelajar yang tinggal di kawasan terpencil. Pelajar ini diajar melalui gabungan pembelajaran di rumah bersama ibu bapa menerusi School of the Air (sekolah udara). Ketika peringkat awal ia diperkenalkan dahulu pada tahun 1951, pembelajaran adalah melalui isyarat radio. Seiring dengan perkembangan semasa, sekolah ini masih lagi beroperasi sekarang namun dengan menggunakan kemudahan telefon dan Internet.
2.Sekolah Terbesar di Dunia

Sekolah terbesar di dunia daripada sudut jumlah pelajar ialah City Montessori School di Lucknow, India yang mempunyai lebih 60,000 pelajar.
3.Sekolah Menggunakan Zipline

Di sesetengah kawasan terpencil di Colombia terutama di daerah pergunungan, pelajar perlu menggunakan zipline atau flying fox yang panjangnya ada mencecah sehingga 800 meter untuk pergi ke sekolah. Cara ini lebih praktikal dan cepat berbanding berjalan meredah hutan.
4.Kanak-kanak di Belanda mula sekolah di usia 4 tahun
Anak-anak di Belanda mula bersekolah pada usia 4 tahun, iaitu setelah hari jadi keempat mereka. Pada usia 5 tahun, mereka sudah diwajibkan untuk bersekolah secara rasmi yang mana pembelajaran lebih berasaskan permainan dan pembangunan sosial.
5.Hari Pengetahuan di Rusia
Di Rusia, 1 September juga dikenali sebagai ‘Hari Pengetahuan’ (Knowledge Day) yang menandakan berakhirnya cuti musim panas dan permulaan semester baru persekolahan. Semua murid akan mula bersekolah pada tarikh tersebut walaupun ia jatuh pada hujung minggu atau cuti umum.
6.Pendidikan di Finland Bermula Pada Usia 7 Tahun
Kanak-kanak di Finland tidak memulakan persekolahan rasmi sehingga usia mencecah 7 tahun. Namun, mereka mempunyai prasekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak yang sangat baik, di mana tumpuan bukan pada matematik, membaca atau menulis, tetapi pada permainan kreatif dan membina tabiat sosial yang baik.
7.Sekolah Bot di Bangladesh

Disebabkan masalah banjir yang sering melanda kawasan rendah di Bangladesh, ‘sekolah bot’ telah menjadi salah satu cara untuk memastikan pelajar masih mempunyai akses kepada pembelajaran. Setiap bot disediakan akses internet, perpustakaan dan kadangkala menggunakan tenaga solar.
8.Sekolah Tertinggi di Dunia

Sekolah yang lokasinya paling tinggi di dunia terletak di Phuma Changtang, Tibet. Sekolah ini berada pada ketinggian 5,373 meter dari paras laut, iaitu 200 meter lebih tinggi daripada base camp gunung Everest.
9.Sekolah Tertua di Dunia
Sekolah tertua di dunia yang masih beroperasi sehingga ke hari ini adalah Shishi High School di Chengdu, dalam wilayah Sichuan, China. Sekolah ini ditubuhkan semasa Dinasti Han sekitar tahun 141 Sebelum Masihi.
10.Sekolah Botol Plastik

The Bottle School yang terletak di Laguna, Filipina, dibina sepenuhnya menggunakan botol plastik terpakai. Sekolah ini siap dibina pada tahun 2011 dan merupakan satu-satunya sekolah sebegini di Asia. Ia menggunakan lebih 9,000 botol dan puluhan sukarelawan untuk membina sekolah ini.
11.Sekolah Terkecil

Ada sebuah sekolah rendah di Turin, Itali yang digelar sebagai sekolah terkecil di dunia. Sekolah ini hanya mempunyai seorang guru dan seorang pelajar. Pada tahun 2023, dilaporkan pelajar bernama Sofia Viola berusia lapan tahun mendaftar di sekolah ini. Isabella Carvelli adalah guru di sini yang mengajar semua subjek.
12.Guru Tertua di Dunia

Menurut rekod dunia Guinness, wanita bernama Medarda de Jesus de Uzcategui dari Venezuela memegang gelaran sebagai guru paling lama berkhidmat iaitu selama 87 tahun. Medarda menjadi guru sejak tahun 1911 hingga 1998.
Dengan pelbagai cara unik ini, kita dapat melihat bahawa sistem pendidikan di seluruh dunia memang mempunyai keistimewaan yang tersendiri, namun tujuannya tetap sama iaitu menyediakan pembelajaran untuk kanak-kanak supaya membesar menjadi insan berjasa dan berguna.

