HATI bapa mana yang tidak luruh apabila melihat cahaya mata yang dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu, pulang ke rumah dengan kesan lebam dan kecederaan akibat perbuatan khianat.
Itulah perasaan berang yang menyelubungi pelakon, Ako Mustapha, apabila mendedahkan anak lelakinya, Mikael Iskandar, yang baru berusia 10 tahun, menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar di sekolahnya, semalam.
Menurut Ako, kejadian yang merobek emosi keluarganya itu dipercayai dilakukan oleh lima orang pelajar yang terdiri daripada gabungan rakan sekelas dan juga pelajar senior.
Apa yang lebih memilukan, kecederaan yang dialami Mikael bukanlah sekadar usikan kecil, sebaliknya melibatkan serangan fizikal yang kasar.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, pelakon filem Cuci itu mendedahkan bahawa dia menyedari kejadian tersebut selepas melihat sendiri kesan kecederaan pada tubuh anaknya ketika Mikael sedang bersiap untuk mandi.
“Hari ini saya rasa sangat marah. Anak saya, Mika, telah dibuli di sekolah oleh lima orang pelajar, termasuk tiga pelajar senior dan dua rakan sekelasnya.
“Apa yang mengecewakan, saya dapati ada kesan tapak kasut seperti dipijak dan bekas tumbukan pada bahagian perutnya,” katanya.
Ako menyifatkan keberanian Mikael untuk bersuara sebagai kunci utama kes ini terbongkar.
Selepas menyedari tanda-tanda kecederaan fizikal tersebut, Ako segera menjalankan ‘siasatannya’ sendiri sebelum membawa perkara ini ke peringkat atasan.
Mikael yang pada mulanya menahan sakit akhirnya menceritakan detik hitam yang dialaminya kepada bapanya secara terperinci.
“Mikael pulang dari sekolah dan beritahu dia kena buli. Semasa saya sedang mengeringkan badannya selepas mandi, saya perasan kesan lebam yang agak teruk.
“Saya terus soal siasat dan dia menceritakan satu per satu apa yang berlaku.
“Saya tidak tunggu lama dan terus merakam foto serta video kesan kecederaan itu untuk dihantar kepada guru kelas sebagai bukti,” katanya lagi.
Bimbang dengan keadaan dalaman anaknya memandangkan Mikael mengadu sakit pada bahagian dada dan perut, Ako dan isterinya segera membawa kanak-kanak itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan pemeriksaan pakar.
Akibat kecederaan yang dideritai, Mikael terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan lanjut bagi memastikan tiada komplikasi serius pada organ dalamannya.
“Mikael mengadu sakit di dada dan perut. Alhamdulillah, guru kelas memberi kerjasama yang sangat baik dan akan menjalankan siasatan lanjut untuk tindakan seterusnya.
“Buat masa ini, Mikael ditahan di wad HKL. Saya mohon doa daripada semua agar segalanya dipermudahkan dan anak saya kembali sihat,” ujarnya.
Tegas dengan pendirian untuk tidak membiarkan budaya buli terus berleluasa, Ako mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut.
Tindakan ini diambil bukan sahaja demi keadilan buat Mikael, tetapi juga sebagai amaran keras terhadap isu keselamatan pelajar di institusi pendidikan.
Rata-rata netizen dan rakan artis turut melahirkan rasa simpati dan mengecam tindakan pelaku yang dianggap melampau memandangkan mangsa baru berusia 10 tahun.
Sementara itu, Ketua Polid Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman, mengesahkan menerima satu laporan mengenai kes buli yang melibatkan anak kepada pelakon Maaf Dari Khilaf itu.
Bagaimanapun, setakat ini kertas siasatan masih belum dibuka.

