KES buli yang menimpa anak kepada pelakon, Ako Mustapha, kini menjadi isu nasional apabila insiden tersebut mendapat perhatian serius daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ako, atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 55, mendedahkan skala kes tersebut telah berkembang sehingga memerlukan campur tangan peringkat Kementerian.
Menurutnya, satu pertemuan khas yang melibatkan Menteri Pendidikan, pihak pengurusan sekolah, polis, serta ibu bapa pihak yang terlibat dijadualkan berlangsung hari ini.
Mikael Iskandar Mustapha, 10, yang merupakan mangsa dalam kejadian itu, dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Walaupun keadaannya menunjukkan tanda-tanda stabil, namun pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan mendedahkan fakta yang lebih membimbangkan mengenai kecederaan fizikal yang dialaminya.
“Alhamdulillah, keadaan Mikael nampak semakin baik dari hari ke hari.
“Bagaimanapun, pakar psikologi kanak-kanak mengesahkan dia kini mengalami kesan trauma dan fobia yang agak ketara ekoran insiden tersebut.
“Apa yang lebih menyedihkan, kami menemui beberapa lagi kesan lebam pada tubuhnya yang sebelum ini tidak kelihatan jelas,” katanya kepada URTV ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Suria FM, malam tadi.
Terdahulu, Ako mendedahkan di platform Threads dia menemui kesan tapak kasut pada badan anaknya, satu bukti fizikal yang menunjukkan kekerasan melampau telah berlaku di kawasan sekolah.
Bintang drama Dalam Hati Ada Cinta itu turut memuji ketegasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan kes ini.
Dia menegaskan segala tindakan yang diambilnya adalah berdasarkan nasihat dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keadilan buat anaknya.
Apa yang lebih mengejutkan, Ako mendedahkan anaknya bukanlah mangsa pertama individu terbabit.
Dakwanya, terdapat beberapa ibu bapa lain yang sebelum ini pernah menyuarakan aduan mengenai tingkah laku ganas pelajar yang sama, namun isu tersebut nampaknya berulang kembali.
“Perkara ini telah mendapat perhatian penuh menteri dan beliau sendiri mahu turun ke sekolah esok untuk berbincang.
“Saya menyerahkan segalanya kepada pihak polis kerana mereka lebih arif dalam menjalankan siasatan.
“Saya tidak mahu berkongsi butiran terlalu awal demi menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dengan sangat profesional,” tambahnya lagi.
Sesuatu yang agak dikesalkan oleh Ako adalah sikap acuh tidak acuh keluarga pelaku.
Sehingga artikel ini ditulis, dia memaklumkan ibu bapa pelajar berkenaan masih belum menghubunginya, apatah lagi menyatakan rasa kesal atau memohon maaf atas tindakan anak mereka.
Walaupun kecewa, Ako menyatakan kesediaannya untuk bersemuka secara profesional dalam pertemuan yang diatur oleh Kementerian Pendidikanbagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas.
Meskipun ramai yang menyarankan agar Mikael dipindahkan ke sekolah lain demi keselamatan, Ako mempunyai pendirian yang berbeza.
Dia nekad untuk mengekalkan Mikael di sekolah sedia ada kerana mahu mendidik anaknya supaya berani menghadapi realiti dunia luar, namun dengan jaminan keselamatan yang lebih ketat.
“Saya tidak mahu lari daripada masalah dengan menukar sekolah. Saya mahu anak saya belajar bagaimana untuk menghadapi realiti kehidupan.
“Apa yang saya tuntut hanyalah pengakhiran kepada gejala buli ini. Saya mahu Mikael, dan juga kanak-kanak lain, dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan kembali bersemangat untuk ke sekolah tanpa rasa takut,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

