
‘’Setakat ini saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi.’
Itulah kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas majlis Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di Bangin, kelmarin.
Sememangnya prestasi menteri amat penting bagi memastikan segala yang sudah dirancang oleh kerajaan terutama dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan memakmurkan negara akan tercapai.
Dalam situasi politik sekarang, para menteri harus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan serangan terhadap kerajaan yang seolah-olah semakin dipergiatkan.
Bagaimanapun seperti mana kata Perdana Menteri, prestasi menteri membanggakan apatah lagi dengan sikap mereka yang sentiasa mengambil serius segala teguran serta mereka kelemahan. Melalui sikap sedemikian sudah pasti dari semasa ke semasa pentadbiran kerajaan akan menjadi lebih baik khususnya dalam menangani isu berkaitan rakyat.
 Jika itu dapat dilakukan ia sekaligus akan membolehkan segala tohmahan yang mahu dilemparkan oleh musuh politik khususnya terhadap Perdana Menteri tidak akan ke mana.Perlu diingat Malaysia kini berada dalam yang betul untuk menjadi sebuah negara maju.
Gagasan dan wawasan yang dibawa oleh Perdana Menteri melalui pendekatan menstabilkan politik telah memberikan keyakinan kepada pihak luar khususnya pelabur asing sehingga ke mana sahaja Perdana Menteri melakukan lawatan pasti ia menghasilkan potensi pelaburan berbilion-bilion ringgit.
 Keadaan itu membuktikan negara-negara lain semakin yakin dengan ketahanan ekonomi Malaysia yang kembali mengukuh berikutan terwujudnya kestabilan politik melalui pendekatan inklusif  Perdana Menteri yang membentuk kerajaan melibatkan pelbagai parti politik.
Biarpun sering berhadapan dengan pelbagai serangan bermotif politik namun ternyata kerajaan di bawah kepemimpinan Anwar tidak tergugat, malah Perdana Menteri sendiri sering memberi ruang kepada perbincangan yang lebih konstruktif antara kerajaan dan pembangkang.
Kepemimpinan Anwar yang menekankan soal ketelusan dan reformasi dalam pentadbiran khususnya memerangi rasuah dan meningkatkan integriti sedikit sebanyak akan berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Justeru rakyat seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan memburuk-burukkan imej dan menggangg gugat kerajaan. Kestabilan politik yang wujud, kedudukan ekonomi yang semakin berkembang jangan dirosakkan dengan agenda politik merebut kuasa yang tidak berkesudahan.
Jika ada pihak yang masih lagi mahu berpolitik, biarkan sahaja.Ini memandangkan kerajaan mempunyai banyak lagi agenda lain yang harus ditangani dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini.
Namun pada masa sama jika ada pandangan atau cadangan bernas daripada pihak pembangkang janganlah ia diketepikan. Kalau ia idea yang baik tidak salah untuk diterima tetapi jika hanya sekadar bermotif politik atau mahu mencetuskan polemik, biarkanlah sahaja.
Kesimpulannya, jemaah menteri harus bersama Perdana Menteri untuk melaksanakan agenda demi rakyat dan negara. Janganlah mereka menimbulkan apa-apa isu atau melakukan tindakan yang boleh memberi ruang untuk terwujudnya lebih banyak tohmahan kepada kerajaan.

