BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf atas kesilapan memuat naik video promosi produk nikotin di akaun media sosial miliknya.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, akui terlepas pandang mengenai bahan-bahan yang digunakan dalam produk berkenaan.
“Maaf atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di IG (Instagram) feed saya sebelum ini.
“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk terbabit,” tulisnya di Instagram Story miliknya.
Jelas pelantun lagu Sejarah itu, dia berterima kasih atas teguran daripada ramai pihak selain turut memberitahu sudah memadamkan hantaran berkenaan.
“Terima kasih di atas teguran, pemberitahuan dan juga memaklumkan hal ini kepada saya.
“Saya sudah memadamkan hantaran itu dan terima kasih sekali lagi di atas teguran yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, Siti memuat naik satu hantaran mempromosikan produk nikotin dipercayai merupakan perniagaan dijalankan oleh anak tirinya iaitu Aazief Khalid.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai termasuk dari laman Facebook Public Health Malaysia yang menegur tindakannya berkongsi sebelum menyelidik produk berkenaan terlebih dahulu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

