PERKHIDMATAN feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu yang dicadangkan untuk disambung semula dijangka mencapai penyelesaian dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan, melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kerajaan Sabah telah menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu itu dalam satu perbincangan secara bersemuka pada Isnin (24 Feb).
Zaliha berkata perbincangan tersebut mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu…Perkhidmatan ini bukan sahaja penting sebagai satu lagi laluan pengangkutan utama, tetapi juga berperanan besar dalam merancakkan ekonomi kedua-dua wilayah.
“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menyambut baik cadangan itu dan kedua-dua pihak komited untuk menyelesaikan isu ini dengan segera bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat disambung semula demi kepentingan orang ramai,” katanya kepada Bernama hari ini.
Baca artikel lain: Norliyana bersyukur beli rumah, dapat Perodua Bezza
Turut hadir Ketua Pengarah JWP Datuk Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Labuan (LC) Senator Tan Sri Anifah Aman, Ketua Pegawai Eksekutif LC Mohd Sukuran Taib, serta pegawai-pegawai JWP yang lain.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja penting untuk komuniti setempat, tetapi juga bagi menarik pelancong dan meningkatkan aktiviti ekonomi di Labuan dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata peningkatan perhubungan ini dijangka merancakkan pertumbuhan pelancongan, dengan potensi tawaran pakej yang menggabungkan pengalaman perjalanan ke kedua-dua destinasi.
“Memandangkan Terminal Feri Antarabangsa Labuan telah bersedia untuk menampung peningkatan jumlah penumpang, kami sedang berusaha dengan pantas untuk menyelesaikan sebarang isu yang masih tertangguh dan mempercepatkan penyambungan semula perkhidmatan ini,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

