MESYUARAT Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iran (JCM) ke-8 hari ini akan mengukuhkan kerjasama diplomatik, ekonomi dan strategik antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata penganjuran mesyuarat itu akan meningkatkan hubungan Malaysia-Iran ke tahap lebih tinggi dengan mempercepat kemajuan bidang kerjasama utama, mewujudkan matlamat yang jelas dan menetapkan garis masa yang realistik untuk mencapai matlamat bersama.
Dalam ucapan alu-aluan pada mesyuarat itu, Mohamad berkata Malaysia sentiasa menganggap hubungan persaudaraan dengan Iran sebagai hubungan yang penting dan saling memanfaatkan, sambil menekankan bahawa Iran kekal sebagai rakan penting bagi Malaysia di Timur Tengah.
Beliau berkata sejak penubuhan hubungan dua hala pada 1968, kedua-dua negara terus menjalin ikatan persahabatan yang kukuh seperti yang terbukti melalui kerjasama rapat dalam pelbagai bidang.
“Meskipun semakin kompleks dan dinamiknya keadaan dunia pada masa ini, hubungan antara kedua-dua negara terus berkembang lebih sedekad lepas.
Baca artikel lain: Sekretariat ASEAN perlu diberi lebih kuasa kenal pasti negara guna halangan bukan tarif — Nazir Razak
Mohamad dalam ucapan turut menzahirkan beliau percaya Iran mampu memainkan peranan konstruktif ke arah keamanan dan kestabilan di rantau ini dan lebih luas lagi, justeru beliau bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Syyed Abbas dan menantikan peranan konstruktif Iran di Timur Tengah.
“Malaysia juga komited untuk mengukuhkan kerjasama di platform antarabangsa seperti PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan D8 (Kumpulan Lapan Negara Membangun).
“Sebagai negara Islam, Malaysia sangat menghargai kepentingan hubungan Iran yang kukuh dengan Islam serta tamadun dunia, kemajuan dan pembangunannya. Sehubungan dengan itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama lebih lanjut dalam bidang kebudayaan dan sosial dengan Iran,” katanya.
Mengenai perdagangan dan pelaburan, Mohamad berkata kedua-dua negara mampu bekerjasama untuk mencari cara bagi menterjemah hubungan rapat kepada hasil yang nyata yang dapat memberi hasil positif bagi manfaat kedua-dua negara.
Malaysia telah menganjurkan JCM ke-7 di Putrajaya yang diadakan dari 10 hingga 11 Nov 2008.
Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.
Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara anggota ASEAN dan yang ke-19 terbesar di dunia pada 2023.
Pada 1970, Malaysia menubuhkan kedutaannya di Tehran, manakala Iran menubuh kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

