Malaysia, Vietnam sedia percepat integrasi rantaian bekalan – Anwar

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MALAYSIA dan Vietnam bersedia untuk mempercepat integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Perkara itu dibincangkan semasa sesi sarapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari Vietnam, Pham Minh Chinh, pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

Menurut beliau, pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam.

Justeru, Anwar memaklumkan, beliau dan Minh Chinh mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi yang diterajui bersama kedua-dua negara.

“Malaysia dan Vietnam berkongsi jaringan hubungan yang kukuh malah terus diperkukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Ia tidak sekadar perjanjian di atas kertas tetapi satu komitmen untuk menyemarak kerjasama dalam pelbagai sektor utama yakni perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital dan keselamatan serantau.

“Kita menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang stabil tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia telah secara serius melabur dalam tenaga hijau termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-PETROVIETNAM.

Katanya, ia merupakan cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari.

Baca artikel lain: Anwar adakan kunjungan hormat ke atas Lam, Jose Ramos-Horta di Vietnam

Anwar memaklumkan, Petronas dan PETROVIETNAM akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh diperbaharui.

“Khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga,” katanya.

Di peringkat serantau, Anwar berkata, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan dengan memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan mempercepat rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC).

Berhubung isu Myanmar pula, Perdana Menteri turut mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis itu daripada terus memburuk.

“Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan yang jelas dan tindakan yang memberi dampak positif yang nyata kepada rakyat serta ekonomi negara,” katanya.

Anwar tiba di Hanoi malam tadi dan dijadualkan menyampaikan ucaptama di Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua, hari ini.

Forum bertajuk Building a United, Inclusive and Resilient ASEAN Amidst Global Transformation dianjurkan Kementerian Luar Vietnam.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai Hanoi malam tadi, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti berkenaan dan Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This