Macam mana nasib ayamnya, macam tulah nasib Sudir!

Dari Penulis

Kisah ini berlaku lebih 10 tahun yang lalu. Pagi itu, saya pergi kerja seperti biasa di sebuah kilang kayu yang terletak di Gemas, Negeri Sembilan. Sudah berbelas tahun saya mencari rezeki di kilang tersebut.

Sedang melakukan kerja seperti biasa, keadaan yang tadinya sunyi bertukar sedikit kecoh. Seorang rakan setugas datang meluru membawa khabar berita buruk.

“Sudir accident! Ada dekat hospital area Johor sekarang ni,” maklum rakan saya itu pada kami yang berkumpul mendengar ceritanya.

Mendengar berita itu, ramailah yang merancang untuk pergi melawat Sudir. Jadi ada antara kalangan kami mengambil cuti sehari untuk menziarahi Sudir yang khabarnya sedang dirawat di sebuah hospital di Johor.

Mulanya, saya pun ingin turut serta. Tapi apabila ramai yang mahu pergi, saya terpaksa batalkan hasrat. Jika ramai yang cuti, macam mana kilang hendak beroperasi? Siapa pula hendak kerja?

“Nanti sampaikan salam aku pada dia,” pesan saya pada rakan-rakan yang akan menziarahi Sudir.

Waktu itu, kami semua belum tahu keadaannya. Adakah serius atau cedera ringan sahaja, kami semua tak pasti. Melalui cerita-cerita yang saya dengar, Sudir kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Yong Peng, untuk menziarahi keluarga angkatnya. Dia menunggang motosikal.

Memang saya ingat, Sudir ada maklumkan pada saya tentang niatnya itu. Katanya, dia mengambil cuti panjang dan mahu dihabiskan cuti tersebut bersama keluarga angkatnya. Apa yang saya tahu lagi, Sudir sebenarnya berasal dari Indonesia. Tapi dia membesar di sini sehingga mendapat taraf warganegara.

Dipendekkan cerita, selang dua hari kemudian, rakan-rakan yang menziarahi Sudir masuk kerja semula. Cepat-cepat saya dapatkan mereka. Nak sangat saya tahu keadaan rakan kami itu.

“Macam mana Sudir? Okey ke? “ tanya saya pada seorang sahabat. Halim namanya.

Rakan saya itu tergeleng-geleng. Kemudian dia bersuara, “Macam mana hang tengok ayam dia, macam tulah dia,” ujar sahabat tadi.

Saya yang mendengar kata-katanya tergamam. Terdiam saya sebentar. Apa kena mengena ayam dengan Sudir?

“Engkau tengoklah macam mana dia buat dekat ayam dia. Macam tulah dia. Teruk sangat,” beritahu rakan saya itu.

Mulanya saya masih belum faham. Tapi selepas berfikir, saya mengangguk, faham dengan maksud kata-kata tadi.

“Teruklah kalau macam tu,” getus hati saya sebelum berlalu meneruskan kerja.

Kemudian, saya terdengar pula cerita daripada rakan lain yang turut sama menziarahinya. Memang diakui keadaan Sudir kritikal. Dia cedera parah dan harapannya untuk hidup tipis.

PETANGNYA, apabila pulang daripada kerja, saya teringat semula kata-kata Halim yang juga sahabat baik Sudir bagaimana dia membandingkan keadaan Sudir dengan ayamnya.

Apabila dibandingkan begitu, saya mula terfikir, apa yang menimpa Sudir mungkin kifarah buatnya akibat selalu menganiayai ayam peliharaannya.

Begini, saya berkawan dengan Sudir sudah lama. Sudir pula ada satu hobi yang saya kurang senang dengannya. Dia suka sabung ayam. Hampir setiap minggu, setiap kali cuti dia akan berjudi dengan menyabung ayam jantan peliharaannya.

Pernah beberapa kali saya ke rumahnya. Kemudian dia tunjukkan saya ayam jantan peliharaannya itu. Katanya, ayam itu adalah hero. Jarang ayam tersebut mengecewakannya. Kalau bertarung, ayam itu kebiasaannya akan menjadi juara.

Tapi yang buat saya terkejut bila lihat keadaan ayamnya itu. Ada bahagian tertentu di badan ayamnya tiada bulu. Bila saya belek, banyak pula kesan parut.

“Kenapa ayam ni? Sakit ke?” saya bertanya.

“Oh, ni parut sebab kena taji. Banyak dah lukanya,” beritahu Sudir.

Cerita Sudir pada saya, setiap kali bertarung ayamnya mesti tercedera akibat tertusuk taji ayam pihak lawan.

Sudir beritahu lagi, pernah beberapa kali ayamnya itu cedera teruk, dengan luka dalam sehingga usus ayamnya terkeluar.

“Habis macam mana engkau buat?” tanya saya yang sedikit terkejut.

“Aku tolak masuk balik, lepas tu aku jahit,” bersahaja Sudir menjawab.

Mendengar jawapan itu saya hanya menggeleng. Kejam sungguh tindakkan Sudir. Melihat keadaan ayamnya yang penuh kesan parut, saya tahu ayamnya kerap cedera ketika bertarung dan menderita.

Bukan itu sahaja, pernah sekali saya datang selepas dia baru selesai menyabung. Kali ini lagi saya kesian. Bulu ayamnya penuh dengan darah. Banyak kesan luka.

Selepas mandikan ayamnya, saya tengok Sudir jahit semula tubuh ayamnya mentah-mentah. Saya yang ada di situ tak tergamak nak tengok lama-lama. Kesian sangat.

Bila ayamnya sembuh sikit, Sudir bawa pergi bertarung semula. Sudir langsung tak ada perasaan belas kasihan.

Bila berbual dengan Sudir pula, topik perbualannya ialah tentang ayam. Ayam dia menang, ayam dia cedera parah dan macam-macam lagi.

Saya juga ingat lagi, pernah sekali Sudir datang menemui saya.

“Engkau boleh tolong aku?” tanyanya.

“Apa dia?” soal saya semula.

“Aku dengar di kampung engkau ada orang pandai buat parang. Cuba tanya dia boleh buat benda ni?” tanya Sudir sambil menghulur sebilah pisau kecil seperti kerambit kepada saya.

“Nak buat apa ni?’ tanya saya lagi.

“Ni aku nak pasang dekat kaki ayam. Nak gantikan taji. Bila kena ayam lain baru cedera teruk. Pernah dulu aku pakai yang ni, ayam lawan sampai putus kepala,” beritahu Sudir tersengih-sengih tanpa rasa bersalah.

Disebabkan memikirkan rakan, saya ambil benda itu. Saya berjanji padanya akan bertanya pada orang kampung yang dimaksudkannya itu. Tapi lepas tu saya tak bertanya pun. Saya terpaksa menipunya. Esoknya saya maklumkan semula pada Sudir yang orang itu tak pandai buat sebab terlalu kecil.

Saya terpaksa menipu sebab tidak sanggup bersubahat menganiaya ayam-ayam ini. Kalau saya buat, bermakna makin galak Sudir menyabung ayam. Lagi banyak ayam-ayam lain jadi mangsa.

Sebab itu apabila rakan-rakan yang pergi menziarahinya membandingkan keadaan Sudir dengan ayamnya, saya mula faham. Mungkin Alllah nak perlihatkan bagaimana sakitnya ayam-ayam itu bila tercedera.

Bagaimana pula dengan Sudir?

Mulanya dia koma. Namun selepas seminggu, rakan saya itu pergi menghadap Ilahi. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa Sudir, dan kita yang masih hidup mengambil pelajaran daripada kisah ini.

*Kisah di atas diceritakan oleh Rizal Md Misrom kepada wartawan Mastika.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This