Nak tahu nama awek tu, kena tengok gelang dia pakai. Ada yang ingat lagi tak kisah gelang kait ini?

Dari Penulis

Pada zaman sekarang, nak berkenalan atau mencari rakan baru jauh lebih mudah berbanding zaman dahulu. Ini disebabkan oleh kemajuan teknologi yang pesat, terutamanya penggunaan media sosial dan pelbagai aplikasi. Hanya dengan sebuah telefon saja, sudah mudah untuk memulakan perkenalan.

Berbeza zaman dahulu, proses mencari rakan memerlukan usaha yang lebih besar. Orang ramai perlu berinteraksi secara langsung dalam pelbagai aktiviti sosial seperti di sekolah, tempat kerja atau melalui acara komuniti.

Kemodenan zaman telah merubah semua itu. Sangat mudah untuk berkenalan zaman sekarang. Tak macam dulu, agak susah. Lagi pula kalau nak mengurat gadis-gadis. Bukan perkara senang tau.

Ada kalanya bukan kata nak dapatkan nombor telefon, nak dapat tahu nama pun susah. Kalau dia jawab pun, belum tentu nama diberitahunya itu nama betul. Susah nak mengurat anak gadis zaman dulu. Bukan macam sekarang, tak kenal pun dah boleh bercinta. Belum jumpa pun ada yang angau padahal hanya sekadar bermesej saja.

Dulu lain kaedahnya. Nak mengurat makwe memang mencabar. Satu ketika dulu siapa masih ingat fenomena anak gadis pakai gelang kait yang tertulis nama? Ada kan. Perah popular gelang benang kait nama ni.

Gadis-gadis waktu keluar selalu pakai gelang ni. Kita pun kalau nampak awek-awek pakai gelang ni, dari jauh duk tengok jer. Nak tengok gelang tu untuk tahu siapa nama awek tu.

Pernah sekali berlaku, waktu tu Ambo dan rakan bernama Iman pergi ke perpustakaan negeri. Dulu orang kata nak cari awek yang baik, kena cari tempat yang baik. Hehehe… Padahal pergi pun bukan nak membaca sangat.

Waktu mula-mula masuk, kami ternampak seorang awek ni. Memang cantik. Apa lagi, terus mata kami melihat pada pergelangan tangannya. Dia pakai gelang kait, ada nama.

Iman pun memulakan misi mahu melihat gelang nama awek tu. Dia menanti awek tu bangun untuk mengambil buku. Lama juga menunggu. Nak pergi dekat tak boleh, sebab perpustakaan itu ada bahagian untuk lelaki dan perempuan. Jadi terpaksalah tunggu.

Akhirnya awek itu bangun nak mengambil buku. Dia pun perasan yang kami dari tadi lagi asyik tengok kat dia. Sebaik dia bangun, Iman ni pun berjalanlah kononnya nak mengambil buku juga.

Sebaik awek ni angkat tangan, Iman cuba tengok tapi awek ni cepat-cepat alihkan. Gelang tu pun dia macam nak sorokkan. Iman tak berputus asa. Dia nak tahu juga nama budak perempuan tu.

Kemudian, budak itu segera duduk di tempatnya semula. Jadi tak dapatlah Iman melihat nama budak perempuan tu. Dia pun datang kepada Ambo.

“Weh! Jom la balik. Dah lama ni,” kata Ambo.

“Sabar la. Aku selagi tak dapat tahu nama budak perempuan ni, aku tak puas hati,” kata Iman.

Terpaksalah Ambo tunggu lagi. Lebih kurang 20 minit, budak perempuan ni bangun untuk cari buku lagi. Iman pun bangun juga. Budak perempuan ni Ambo tengok memang dah perasan. Dia pun duk senyum-senyum.

Tapi mungkin dia sengaja nak kenakan Iman. Sekejap dia angkat tangan, sekejap ke bawah. Sekejap buat macam baca buku, sekejap jatuhkan buku. Akhir sekali dia duduk di situ. Kononnya macam duk cari buku bahagian rak paling bawah sekali.

Iman pula duduk di belakang sebuah rak yang tingginya lebih kurang pinggang. Mata Iman asyik tertumpu pada gelang tangan budak perempuan tu. Tiba-tiba rak tu makin senget dan terus terbalik.

Dum!

Suasana sunyi terus dikejutkan dengan bunyi rak buku yang terbalik. Ambo segera bangun dan turun ke bawah. Tinggalkan Iman, buat-buat tak kenal. Ha ha ha… Itulah, siapa suruh gatal sangat. Lepas tu, Iman terus kena bebel dengan pustakawan yang jaga tempat tersebut.

Itu pengalaman pertama. Ada satu lagi, cerita di sebuah kedai makan. Waktu itu Ambo bersama empat orang kawan berada di sebuah kedai makan. Sedang kami duduk minum, datang satu keluarga yang ada anak perempuan. Anak perempuan dia pun comel juga. Dia datang empat orang. Ayah, emak, anak lelaki dan anak perempuannya.

Ambo dan kawan-kawan duk perhati budak tu. Dia duduk meja ke dalam sedikit. Kami tengok dia ada memakai gelang nama juga. Nampak sahaja begitu, seorang daripada rakan Ambo menawarkan diri untuk pergi lihat nama budak perempuan tu.

Dia bangun terus ke kaunter kononnya untuk mengambil tisu sambil mata asyik perhati tangan budak perempuan tu. Lepas tu dia kembali ke meja.

“Weh, nama dia Jamilah,” kata kawan Ambo sambil ketawa.

“Apa lagi, panggillah,” kata kawan Ambo yang lagi satu.

“Hish! Jangan buat hal. Mak dengan ayah dia ada tu,” kata Ambo.

“Tak ada apalah. Ni kan bakal calon menantu,” balas kawan Ambo.

Semua segan-segan nak panggil. Kami duk perhatikan dia. Dia nak makan pun tak senang. Asyik tunduk malu. Lama selepas tu, mereka semua selesai makan. Sebaik mereka melalui meja kami, kawan Ambo pun mula bersuara.

“Nak balik dah Jamilah?” tanya kawan Ambo.

“Nak balik dah,” balas mak dia secara spontan.

Mak gadis itu kemudian seperti terkebil-kebil mencari siapa yang menegurnya. Rupanya budak perempuan tu pakai gelang mak dia. Mak dia nama Jamilah rupanya.

Merah padam muka kawan Ambo bila mak dia pandang. Nasib baik ayah dia sporting. Dia hanya senyum sahaja. Kalau kena yang panas baran, mahu kena hempuk kami hari tu. Dah la budak-budak lagi, berani pula mengurat orang tua. Depan suami pula tu.

Budak perempuan tu pula merah muka menahan ketawa. Pucat wajah kami dibuatnya. Fuh, itulah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Ada kalanya tak boleh percaya juga dengan gelang tangan yang ada nama ni.

Budak perempuan pun pandai. Kalau dia keluar, dia akan tukar-tukar gelang nama. Sebab dia tahu, pasti ada yang akan menegur. Macam terjadi kepada seorang kawan Ambo. Dia bertemu dengan lebih kurang lima orang gadis dekat sebuah kedai buku. Dalam lima orang tu, ada yang cantik, dan seorang lagi yang agak kurang cantik.

Gelang di tangan budak yang cantik tu tertera nama ‘Julia’. Dia pun apa lagi, terus mula mengayat.

“Hai Julia,” kata kawan Ambo.

Rupanya Julia tu nama kawan dia yang agak kurang cantik tu. Dah tahu, terus kawan Ambo buat tak tahu dan keluar dari kedai. Tak baik buat macam tu kan? Tu kawan Ambo, bukan Ambo yer. Ha ha ha…

Tapi tulah cara perkenalan zaman Ambo sekolah dulu. Sekarang gelang begitu tak ada orang pakai dah. Jangan tak tahu, ada juga yang disebabkan gelang itu mereka bercinta dan akhirnya berkahwin tau. Hanya perkenalan dari gelang kait bernama tu saja, masih bahagia hidup sampai sekarang. – Ambo, Kota Bharu, Kelantan.

___


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This