Seruan jihad songsang BRN punca Ramadan berdarah di Selatan Thailand

Dari Penulis

HARAPAN untuk melihat umat Islam di Selatan Thailand menyambut dan beribadah dengan tenang di bulan Ramadan berkecai  apabila Kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN) terus mengganas dengan serangan terbaru pada Sabtu lalu (8 Mac)  yang menyaksikan dua anggota Pasukan Sukarela Thailand terbunuh.

Serangan ke atas pos keselamatan di Pejabat Daerah Sungai Golok, Narathiwat itu turut mencederakan 12 orang yang lain termasuk empat daripadanya parah.

Sebelum itu pada 3 Mac di Yala, seorang lelaki cedera ditembak oleh puak pemisah dan ia diikuti dengan kejadian tiga sami buddha di daerah Khok Po, Pattani diserang menyebabkan ketiga-tiga mereka  cedera.

Pada 5 Mac pula, ketika umat Islam sedang berbuka puasa, sekumpulan remaja melontar bom paip ke atas pos sekatan dan pemeriksaan  jalan raya di Jalan Kereta Api, Yala. Perbuatan ganas itu menyebabkan enam orang awam yang kesemuanya beragama Islam turut cedera.

Pada 6 Mac, berlaku serangan bom di Wat Khuhapimuk, Muang, Yala menyebabkan beberapa orang cedera ringan. Dua hari kemudian pada 8 Mac tiga orang termasuk dua Penolong Ketua Kampung terbunuh manakala seorang cedera dalam serangan bom di kawasan rehat berhampiran Simpang Empat Ban Hutae Kolae, Sai Buri, Pattani.

Secara keseluruhan setakat Ahad (9 Mac), seramai tiga anggota keselamatan terbunuh manakala 8 cedera dan empat orang awam mati dan 15 cedera termasuk sami Buddha, dalam serangan yang dilakukan oleh puak pemisah.

 Ia sekaligus membuktikan kumpulan itu khususnya BRN sama sekali tidak berhasrat untuk melihat penduduk Islam di Selatan Thailand meraikan Ramadan dalam ketenangan dan melaksanakan ibadah dalam bulan suci dengan penuh kedamaian.

Mereka  bagaikan sekelompok serigala ganas yang sama sekali tidak tahu erti belas ihsan dan sepanjang masa mahu menumpahkan darah insan-insan yang tidak berdosa kononnya atas nama jihad.

Apabila kejadian serangan terus berlaku sejak kedatangan Ramadan pada 2 Mac lalu, ia membuktikan ketika pemerintah Thailand menganjurkan Ramadan Aman, puak pemisah pula bagaikan melancarkan ‘Ramadan Berdarah’.

Amanat oleh pemimpin BRN pada 1 Mac lalu sehari sebelum Ramadan disambut oleh umat Islam .

Kenapakah dalam perutusan sempena Ramadan pada 1 Mac lalu, pemimpin BRN menegaskan;

‘’Amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadhan bukan sahaja amalan bersifat rohani seperti puasa di siang hari, berjaga malam, membaca al-Quran tetapi tidak memperbanyakkan amalan fizikal seperti Jihad di jalan Allah dalam bentuk sedekah untuk meninggikan darjat Islam dan meringankan kefakiran dan kesengsaraan umat. 

‘’Dalam bentuk pengorbanan untuk mendapat gelaran syahid demi mencari keredhaan Allah dan dalam bentuk peperangan untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan yang berlaku secara berleluasa sekarang ini, sebagaimana dicontohi oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di dalam Perang Badar al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah bersamaan 17 Mac Tahun 426 Masihi 

‘’Dan peristiwa pembukaan Mekah yang berlaku pada 10 Ramadan Tahun 8 Hijrah bersamaan Januari Tahun 360 Masihi yang dipimpin oleh sahabat Rasulullah, Panglima Khalid   Al-Walid dan juga peristiwa membebaskan Andalusia di Sepanyol pada bulan Ramadhan Tahun 92 Hijrah yang dipimpin oleh Panglima Tariq bin Ziyad….’’

Soalnya adakah seruan berjihad yang dikeluarkan oleh pemimpin BRN itu ada kaitan dengan serangan-serangan yang berlaku? Ia kerana secara jelas mereka mahu umat Islam berjihad untuk menjadi syahid dalam peperangan kononnya untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan yang berlaku secara berleluasa sekarang ini.

Mungkin akibat seruan itulah ada anak muda terpengaruh sehingga sanggup melakukan serangan sehingga mengorbankan orang awam yang tidak berdosa dan paling malang turut menjadi mangsa ialah umat Islam.

Ketika pemimpin BRN sedang ‘sedap-sedap’ menikmati nasi Arab dan terbaring bagaikan ular sawa kekenyangan, anak muda yang terpengaruh dengan dakyah jihad mereka sanggup ‘menghirup darah’ umat Islam dengan melancarkan serangan bom.

Entah kitab mana yang mereka baca, ulama mana yang mereka rujuk apabila menyeru seruan jihad di Selatan Thailand yang sebesar kuman pun tidak boleh disamakan dengan perang Badar, pembukaan Kota Mekah dan pembebasan Andalusia.

Hanya orang buta sejarah dan jahil  sahaja yang akan mempercayai bahawa seruan jihad oleh BRN itu sama dengan ketiga-tiga peristiwa berkenaan.

Perang Badar tercetus akibat sikap orang kafir Quraish yang melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan ke atas umat Islam, Rasulullah SAW mengetahui pembukaan Mekah bagi membebaskan kota suci itu daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliah manakala peristiwa penawanan  Andalusia adalah petanda bermulanya zaman keemasan pemerintahan  Islam.

Anggota keselamatan memberikan rawatan kepada salah seorang penduduk yang cedera akibat serangan BRN
di Selatan Thailand.

Oleh itu atas dasar apa pemimpin BRN mahu menjadikan ketiga-tiga peristiwa itu sebagai alasan untuk mereka mengganas di Selatan Thailand? Adakah umat Islam di wilayah itu ditindas? Adakah pemerintah Thailand menangkap dan menyeksa umat Islam Islam? Adakah pemerintah Thailand menghalang umat Islam daripada beribadah?

Semua itu tidak berlaku, sebaliknya pemerintah Thailand bersedia melakukan apa sahaja termasuklah berunding dengan puak pemisah bagi mewujudkan keamanan dan kedamaianan di wilayah berkenaan.

Pemerintah Thailand juga membuktikan kesungguhan mereka untuk memastikan umat Islam beribadah dengan tenang di bulan Ramadan tetapi semua itu dirosakkan dan dimusnahkan oleh puak pemisah. Justeru kita tertanya-tanya siapa sebenarnya yang menjemput kesengsaraan kepada umat Islam di Selatan Thailand? Siapa sebenarnya yang ganas dan siapa sebenarnya yang mahu melihat hidup umat Islam terus huru-hara?

Akibat tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan kumpulan BRN, ia bukan sahaja menyebabkan ketenangan penduduk Islam beribadah di bulan suci dirampas malah ekonomi mereka juga dijangka terjejas apabila Kementerian Luar Negeri (Malaysia) menggesa rakyat negara ini menangguhkan perjalanan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani susulan insiden keselamatan yang berlaku.

Kesimpulannya, keganasan oleh BRN pada bulan Ramadan membuktikan mereka sama sekali tidak berjuang untuk umat Islam dan mereka sekelumitpun tidak layak diajak untuk berunding dalam proses damai. 

Sudah tiba masa demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk Islam, Pemerintah Thailand mempertimbangkan untuk menutup segala pintu rundingan dan berhadapan dengan puak pemisah dengan kekuatan sebenar melainkan BRN benar-benar bertaubat  dan menamatkan segera semua tindakan ganasnya. Selain itu mereka juga perlu memberi perlindungan sedaya upaya kepada saudara Muslim di SelatanThailand  yang mahu melihat wilayah itu  aman damai.

Itu sahaja caranya untuk mewujudkan kedamaian di wilayah tersebut kerana terbukti BRN bukan sahaja tidak ikhlas dalam proses damai tetapi juga tidak jujur kepada penduduk Islam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This