300 keluarga sertai Keluarga Hatimurni Bersama Al-Quran. Kukuh hubungan melalui ibadah dan didik budaya infak

Dari Penulis

Mengimarahkan Ramadan dengan alunan bacaan Al-Quran, seramai 300 buah keluarga menyertai program Keluarga Hatimurni Bersama Al-Quran julung kali anjuran Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni untuk bersama-sama menghayati kitab suci Al-Quran sempena Quran Hour.

Pengasas Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni berkata, program ini sebagai salah satu kempen Hatimurni dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan mengajak ibu bapa dan anak-anak untuk menyertai usaha khatam Al-Quran secara berjemaah.

Pengasas Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni.

“Hatimurni julung kali adakan Quran Hour Keluarga Hatimurni Bersama Al-Quran 2025 dan telah mengumpulkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada 300 buah keluarga untuk mengukuhkan tim Hatimurni bersama keluarga pelajar Hatimurni.

“Program hari ini sangat hebat kerana saya melihat sendiri bagaimana komitmen ibu bapa untuk menyokong anak-anak. Mereka datang awal dan sanggup duduk di bersila untuk program Halaqah dari waktu Dhuha sehingga tengahari.

“Ramai ibu ayah yang beri sokongan untuk anak-anak membawa Al-Quran, mereka mendengar anak-anak membaca, malah anak-anak juga mendengar bacaan ibu ayah. Bagi saya objektif untuk Quran Hour Hatimurni tercapai, insyaAllah,” katanya kepada Wanita.

Antara program yang berlangsung ialah Solat Dhuha berjemaah, bacaan Al-Quran dalam keluarga secara berkumpulan, diketuai oleh Daie Fuad dan Tausiyah Al-Quran Ustaz Hafiz Za’farani.

Program yang menghimpunkan pelajar dan keluarga pelajar Hatimurni ini berlangsung pada Sabtu, 22 Mac 2025, bermula dari jam 7:45 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Melihatkan kepada perkembangan positif, jelas Siti Khadijah, pihaknya bakal membuka ruang untuk lebih ramai peserta pada tahun akan datang.

“Melihatkan kepada sambutan kepada program pertama Quran Hour Hatimurni ini, kami melihat hasil dan yakin pada tahun hadapan, kami akan susun program dengan lebih baik dan membukanya kepada 1000 peserta termasuk orang luar,” kongsinya lagi.

Pihaknya yakin bahawa Ramadan adalah masa terbaik untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan melalui ibadah bersama, sambil mendidik masyarakat tentang pentingnya infaq.

“Antara perkara lain untuk kami didik ibu ayah menghidupkan bulan Ramadan ialah memberikan suasana membaca Al-Quran dan berinfak.

“Program Quran Hour ini adalah salah satu daripada lima program di bawah Program Infaq Kasih Ramadan D Hatimurni. Antara program lain ialah edaran 2,500 pek beras di 32 lokasi, edaran 10,000 pek bubur lambuk setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan, majlis berbuka puasa dengan 1000 mualaf dan persediaan baju raya untuk anak yatim.

“Program Infaq Kasih Ramadan D Hatimurni bermula sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. Dan ini merupakan tahun kelima dan kami pelbagaikan program bagi menghidupkan suasana Ramadan. Sebab itu setiap minggu kami rancak dengan pelbagai program. Alhamdulillah sambutan ibu bapa sangat menggalakkan di mana mereka turut sama berinfak,” kongsinya lagi berharap agar program ini bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih prihatin dan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Pusat Pendidikan Islam Swasta – Hatimurni telah ditubuhkan semenjak tahun 2007 oleh pengasasnya Ustazah Siti Khadijah Mohni dan suami, Ustaz Engku Ahmad Fadzil dengan fokus utamanya untuk membantu ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama kepada anak-anak dan penerapan adab dan akhlak Rasulullah SAW ke dalam diri anak-anak.

Hatimurni beroperasi di tiga pusat iaitu di Wangsa Maju, Setiawangsa dan Seksyen 7 Shah Alam. Hatimurni turut menawarkan kelas pendidikan agama secara dalam talian  yang bukan sahaja dihadiri oleh anak-anak di Malaysia malahan dari luar negara sehingga ke Dubai dan Qatar.

Untuk maklumat lanjut tentang kelas yang disediakan Hatimurni, boleh hubungi 019-6664225 atau 013-3044225.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Perbezaan jantina mangsa tidak seharusnya membezakan kes jenayah seksual kanak-kanak

Oleh : Dr Haezreena Begum Abdul Hamid KES melibatkan seorang guru wanita yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar...

More Articles Like This