Untuk mencorakkan masa depan sesebuah negara, didik dan lenturkan sahsiah dan jati diri generasi muda. Biarkan mereka menikmati zaman indah kanak-kanak namun terapkan bersama pegangan agama dan ilmu bersama.
Atas dasar ini, Tijarah Hatimurni Sdn Bhd mengambil tanggungjawab menyebarkan ilmu pendidikan agama untuk kanak-kanak bertepatan dengan keperluan ibu bapa, lebih-lebih lagi pada musim pandemik melanda.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif di Tijarah Hatimurni Sdn Bhd, Ustazah Siti Khadijah Mohni, pandemik Covid-19 yang melanda dunia menjadi titik tolak kepada kewujudan kelas KAFA secara online bagi memastikan pelajar tidak terus ketinggalan di saat penutupan sekolah.

“Pendekatan ini diambil sewaktu pandemik Covid-19 iaitu pada Mac 2020 bagi membantu seramai mungkin pelajar untuk terus menimba ilmu. Memang tak mudah mendidik menerusi pembelajaran dalam talian lebih-lebih lagi anak-anak pada usia tujuh hingga 12 tahun.
Namun menerusi kelas secara talian yang dijalankan, setiap pelajar diberikan fokus secara perseorangan dan ini membantu memudahkan lagi pemahaman mereka. Dan inilah rahsia kemenjadian pelajar di Hatimurni.
Kami ada pendekatan yang terbaik mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jakim. Setakat ini kami sudah membantu lebih 1500 pelajar sepanjang pandemik,” ulasnya yang mensasarkan 20,000 pelajar secara talian pada 2022.

Tiada lagi sempadan, jarak kini bukan halangan. Jelas Siti Khadijah, tiada apa yang lebih membanggakan apabila melihat majoriti pelajar faham dan fasih dalam mengaji Al-Quran. Walaupun rata-rata guru berada di luar ibu kota, namun tiada yang mustahil dengan kemudahan teknologi.
“Apa yang membanggakan saya, guru yang mengajar berada di Terengganu dan pelajar berada di Puchong. Mudah kan untuk belajar? Dan sejak pembukaan kelas KAFA secara online, kami menerima pelajar dari Arab Saudi, Mesir, United Kingdom dan Kanada.
Dan berdasarkan pengalaman ibu bapa di sini, biasanya untuk mengaji, perubahan dan peningkatan boleh dilihat dalam masa sebulan hingga tiga bulan,” katanya yang bakal meluaskan lagi cawangan pembelajaran sekitar Lembah Klang.
Terdahulu Siti Khadijah ditemui pada majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang Kafa Online Hati Murni 2021 bertempat di Hotel Acapella, Shah Alam. Jelasnya, matlamat penganjuran hari istimewa ini adalah untuk menghargai usaha pelajar dan berharap anugerah yang diterima akan terus merangsang minat mereka untuk belajar secara dalam talian.


