PIHAK pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bersetuju untuk berpindah ke tapak yang baharu yang terletak tidak jauh dari lokasi ketika ini.
Setiausaha jawatankuasa kuil berkenaan, Kaarthik Gunaseelan berkata, persetujuan itu dicapai semalam hasil perbincangan dan rundingan mereka bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Kaarthik, tapak alternatif itu berdekatan dan dalam kawasan Jalan Masjid India.
“Kami berterima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa lain yang membantu mencapai resolusi ini.
“Tapak baru itu berdekatan dan dalam kawasan Jalan Masjid India, serta sesuai sebagai tapak alternatif,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Karthik berkata, satu mesyuarat antara jawatankuasa kuil dengan DBKL untuk memuktamadkan perkara teknikal akan diadakan petang ini dan pengumuman rasmi dijangka menyusul.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi mengesahkan akan merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Masjid India Khamis ini, biarpun dipertikai badan bukan kerajaan (NGO).
Pada masa sama, Perdana Menteri juga mahu supaya pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman meneruskan perbincangan dengan pemilik tanah iaitu syarikat swasta serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi urusan pemindahannya ke lokasi lain.
“Saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan (Khamis ini). Saya minta jawatankuasa kuil runding dengan baik. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), syarikat berkenaan, DBKL.. semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang dengan baik.
“Jawatankuasa kuil saya sebut begitu juga, bincang dengan baik. Kami ini rakan dan sahabat dan jangan dambakan kami sebagai orang zalim dan jangan dengar penghasut,” katanya berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

