KERAJAAN tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk berpindah ke tapak baharu.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyangkal dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada pihak kuil tersebut.
Dr Zaliha menegaskan, dakwaan dilemparkan pengguna Facebook Firdaus Wong Wai Hung yang juga seorang pendakwah bebas itu tidak benar sama sekali dan tidak berasas.
Malah, beliau berkata, tiada sebarang perjanjian atau deal lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah diumumkan secara rasmi semalam.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.
“Yang paling utama, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Pengurusan kuil setuju pindah, lokasi baharu berdekatan Jalan Masjid India
Mengulas lanjut, Dr Zaliha turut menegaskan bahawa kes berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan atau precedent untuk mana-mana isu lain pada masa akan datang.
Menurut beliau, kes itu adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut yang ditangani dengan penuh hikmah mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini.
“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.
Semalam, Dr Zaliha memberitahu, pihak jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berpindah ke tapak baharu berdekatan kawasan itu.
Katanya, tapak berkenaan terletak berhampiran kuil sedia ada dengan keluasan 4,000 kaki persegi.
Tapak terbabit adalah sebahagian daripada Lot PT95 Seksyen 40 Mukim Bandar Kuala Lumpur, namun Zaliha tidak memperincikan bila proses penempatan semula kuil itu akan dimulakan.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta yang mana di dalam turut ada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

