PENERBIT filem Misteri Fraser 1910, Millionaire Films Production Sdn. Bhd menuntut permohonan maaf daripada Shuhaimi Zulkefli yang juga pengarah filem berkenaan susulan kenyataan fitnah yang dikeluarkan.
Dalam satu kenyataan melalui pasukan guaman Tetuan Ras & Co, penerbitnya iaitu Kapten Bers. (PA) Amai Kamarudin dan Elani Aidid memaklumkan ia berhubung dengan fitnah di media sosial yang mengaitkan syarikat berkenaan tidak membayar gaji kru sehingga filem tersebut disekat daripada tayangan.
“Kami mahu Shuhaimi menarik balik secara terbuka dan membuat permohonan maaf bertulis dalam bentuk yang diluluskan oleh kami, yang hendaklah disiarkan di platform media sosial yang sama memadam hantaran asal dan mana-mana hantaran berkaitan, termasuk sebarang komen tambahan atau balasan komen yang merujuk kepada kami.
“Selain itu, kami mahu Shuhaimi memberikan akuan bertulis untuk tidak akan mengulangi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah serta membayar ganti rugi dan kos guaman yang telah ditanggung,” katanya.

Pada atau sekitar 23 Mac baru-baru ini, Shuhaimi telah berkongsi satu pautan artikel yang bertajuk ‘Produksi culas bayar gaji kru dan pelakon, filem disekat tayangan’ yang disebarkan melalui akaun media sosial miliknya.
Kemudian pada bahagian ruangan komen pautan artikel berkenaan, seorang individu bernama Amir Muhammad telah bertanya ‘alamak, filem fraser tu?’ dan Shuhaimi telah menjawab ‘Amir Muhammad ye bang’.
Sehubungan itu, pihak penerbit menegaskan sekiranya Shuhaimi gagal untuk memberikan sebarang maklum balas dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas surat tuntutan dihantar, mereka berhak memulakan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut.
“Kos ganti rugi minima yang akan kami mohon di Mahkamah Tinggi adalah RM1 Juta, mengambil kira kos pembikinan filem kami, pasca produksi, pengedaran dan pemasaran yang terjejas setelah fitnah Shuhaimi diterbitkan.
“Untuk makluman semua melalui surat rasmi dari Skim Wajib Tayang Finas, filem kami bergenre sejarah fiksyen “Misteri Fraser 1910” yang diinspirasikan dari Kisah Benar peneroka Fraser Hill yang hilang telah mendapat tarikh tayangan di pawagam pada 26 Jun 2025.
“Tuntutan ini dibuat bukanlah kerana ingin mengejar pampasan berbentuk wang tetapi lebih kepada membersihkan nama baik produksi yang tercalar sejak fitnah ini dibuat. Kami menganggap hanya dengan prinsip undang-undang saja dapat mengembalikan maruah kami yang hilang,” tegasnya.
Difahamkan ini adalah filem pertama arahan Shuhaimi melalui pemilihan produksi yang mendapat Dana Kandungan Kreatif (FAME) First Time Amateur Filmmaker yang dibiayai oleh FINAS pada Oktober 2023 dan telah tutup projek pada Februari 2025.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

