TUN Dr Mahathir Mohamad meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepadanya kerana mendakwa enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik parti itu.
Menerusi surat tuntutan (LOD) diserahkan peguamnya Muhammad Rafique Rashid, bekas Perdana Menteri itu meminta permohonan maaf dibuat dalam tempoh tujuh hari bermula dari tarikh 25 April 2025.
Beliau juga mendesak Ahmad Zahid membuat permohonan maaf itu dan penafian terhadap dakwaannya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO serta dibuat tanpa syarat dan tidak diulangi pada masa depan.
“Permohonan maaf secara terbuka dan bertulis dalam akhbar-akhbar berita dan di semua platform media sosial rasmi Dato Seri dan kekalkan siaran tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
“Dr Mahathir Mohamad merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan suaimanfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” katanya seperti dilapor FMT.
Terdahulu, Ahmad Zahid menafikan beliau menuduh Dr Mahathir enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik parti itu.
“Saya tidak pernah menyebut nama beliau. Apabila ditanya wartawan, saya sebut seseorang (berhubung status tandatangan pindah milik tanah UMNO),” katanya pada sidang media di Tapah.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, tak timbul beliau tidak mahu melepaskan harta parti kerana beliau tandatangan surat akuan bagi permohonan kebenaran untuk pindah milik harta, bertarikh 27 Oktober 2015.
Baca artikel lain: Status bantahan pemilihan Cabang PKR diumum minggu depan
Surat akuan itu, ditandatangani oleh beliau dan tiga pemegang amanah lain, dinyatakan dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh UMNO, katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini dipetik Berita Harian sebagai berkata, seorang daripada empat pemegang amanah masih belum menandatangani dokumen pemindahan milik sebidang tanah di Kuala Lumpur.
Menurutnya, firma guaman menghantar surat kepada individu terbabit untuk melepaskan pegangan itu tetapi individu itu masih belum berbuat demikian sehingga kini.
Sehari sebelumnya, media melaporkan UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepadanya.
Menurut laporan, pemilik geran didaftarkan atas nama pemegang amanah iaitu Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.
Sebelum ini, Dr Mahathir turut meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memohon maaf berhubung isu itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

