
BERIKUTAN kekalahan ramai pemimpin yang dikatakan daripada kem Rafizi Ramli pada pemilihan Cabang (bahagian) PKR yang berakhir minggu lalu, politik dalaman PKR semakin ‘panas’ apabila ada desakan mahu Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi menentang Menteri Ekonomi tersebut bagi jawatan Timbalan Presiden.
Pada 2022, Rafizi mendapat 59,678 undi dalam pemilihan pada 24 Jun di Shah Alam untuk menewaskan Saifuddin Nasution yang memperoleh 43,010 undi. Kemenangan Rafizi ketika itu turut diiringi dengan kejayaan pemimpin-pemimpin yang dikatakan ‘team Rafizi’.
Bagaimanapun dalam pemilihan kali ini suasana berbeza apabila PKR menjadi teraju kepada Kerajaan Perpaduan yang turut disertai bukan sahaja sekutu dalam Pakatan Harapan iaitu DAP dan Amanah tetapi juga bekas musuh ketat mereka iaitu UMNO daripada Barisan Nasional (BN).
Presiden PKR, Anwar Ibrahim kini menjadi Perdana Menteri yang dianggap ahli politik paling berpengaruh sama ada dalam parti mahu dalam kerajaan. Rafizi yang cukup popular dengan formula-formula ekonominya kini menjadi Menteri Ekonomi manakala Saifuddin Nasution pula adalah Menteri Dalam Negeri.
Walaupun Saifuddin Nasution bukanlah Ahli Parlimen selepas tewas di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Bharu pada PRU-15 namun beliau dikatakan mampu menandingi Rafizi yang merupakan Ahli Parlimen Pandan.
Dengan arus dalam PKR yang semakin meminggirkan pengaruh Rafizi dalam PKR, penulis melihat pemilihan PKR kali ini adalah detik terbaik untuk Saifuddin Nasution mencuba sekali lagi untuk merebut jawatan Timbalan Presiden.
Lagi pula, Saifuddin Nasution dilihat tidak ada apa-apa masalah berbanding Rafizi yang dilihat oleh sesetengah penyokong PKR ada ‘kejanggalan dalam hubungan’ dengan Anwar biarpun beliau merupakan salah seorang menteri.
Walaupun baru-baru ini Anwar ‘memberi amanat’ supaya Rafizi diberikan laluan mudah untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden tetapi ahli dan penyokong PKR melihat ia bukanlah ‘satu larangan’.

Anwar hanya ‘mengamanatkan’ sahaja justeru beliau tentu akan menghormati jika berlaku pertembungan bagi jawatan Timbalan Presiden atas kehendak ahli kerana Anwar pastinya tidak mahu dianggap ‘menyekat demokrasi’ atau hak eksklusif ahli untuk memilih pemimpin yang mereka mahukan.
Atas sebab itulah walaupun Saifuddin Nasution berkata belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi beliau juga menegaskan ‘’pemilihan PKR ialah satu proses demokrasi yang diizinkan dalam Perlembagaan parti dan bagi beliau fokusnya untuk memperkuat lagi parti itu’’.
Ada yang mentafsirkan bahawa kenyataan Saifuddin Nasution itu memberi isyarat beliau mungkin berkira-kira mahu mencuba sekali lagi melawan Rafizi bagi jawatan nombor dua dalam parti dan sekaligus melaksanakan misi beliau ‘untuk memperkukuhkan lagi parti dalam pelbagai aspek’ sepertimana komitmen yang dicapai dalam pertemuan tertutup dengan Rafizi baru-baru ini.
“Saya mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula sebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman (bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR) dan sebagainya. Saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu. Siapa pun yang mengikuti rekod prestasi saya dalam parti tahu bahawa orang tidak boleh persoalkan kesetiaan saya kepada parti,” katanya kepada media.
Sememangnya kesetiaan Saifuddin Nasution terhadap PKR tidak boleh dipersoalkan samalah juga dengan Rafizi namun banyak suara-suara dalam parti itu mahu perubahan berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden dan mereka melihat Saifuddin Nasution merupakan calon paling sesuai.
Pengalaman beliau dalam barisan kepimpinan PKR termasuk menjadi Setiausaha Agung PKR (November 2018-September 2024), pernah menjadi Ahli Parlimen ADUN serta berada dalam Kabinet sudah cukup melengkapkan syarat untuk beliau menentang Rafizi.
Bagaimanapun ada juga yang bertanya kenapa Rafizi perlu ditukarkan? Bukankah beliau adalah Ahli Parlimen dan menteri Kabinet? Dan bukankah Anwar telah ‘mengamanatkan’ anak kelahiran Besut, Terengganu berusia 47 tahun itu ‘diberi laluan mudah’ untuk jawatan Timbalan Presiden?
Sebenarnya seperti mana kata seorang penyokong PKR kepada penulis, ‘pertembungan’ antara kem Anwar dan Rafizi bukan lagi rahsia.
Tambahan pula ada cakap-cakap hubungan antara Anwar dan Rafizi memang baik tapi ‘tak mesra sangat’ dan ada pula yang mendakwa Kerajaan Perpaduan menjadi ‘momokan’ dalam soal tidak melaksanakan janji dalam pilihan raya kerana formula ekonomi Rafizi. Tidak dapat dipastikan sejauhmanakah kebenaran dakwaan itu namun untuk menyalahkan Rafizi semata-mata tidak wajar kerana ada faktor yang menjadi kekangan janji tersebut tidak dapat ditunaikan.
Bagaimanapun ia sama sekali tidak dapat menjadi ‘tambatan banjir’ untuk menghalang ‘arus’ yang mahukan perubahan dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermula daripada jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden hinggalah Ahli MP.
Penulis difahamkan, ketika ini kempen dan gerakan lobi melobi ‘semakin panas’ berikutan pemilihan yang akan diadakan pada 24 Mei ini. Hala tuju ‘arus perubahan’ itu ialah bagi memastikan ‘team Anwar’ menguasai pemilihan berbanding sebelum ini yang menyaksikan ‘team Rafizi’ menang bergaya. Walaupun pemimpin-pemimpin PKR mendakwa tiada ‘team orang itu, orang ini’ namun ia sekadar kenyataan politik.
Politik tetap politik, berpuak-puak dalam parti tidak ada salah asalkan bila pilihan raya mereka bersatu hati memenangkan parti. Lagipun pemimpin PKR tidak perlu risau jika dakwaan seumpama itu kerana akan ada penganalisis politik menganggap ia amalan demokrasi berbanding mereka menyatakan ‘ia krisis dalaman’ kalau berlaku kepada parti pembangkang.
Itulah demokrasi semua orang berhak bersuara memberi pendapat dan membuat tafsiran, andaian serta spekulasi. Begitulah juga dalam pemilihan PKR, adalah menjadi hak demokrasi ahli memilih siapa yang mereka mahukan dan adalah menjadi hak sesiapa juga mentafsirkan senario pertarungan kali ini.
Tetapi apapun semua orang menanti apakah pendirian Saifuddin Nasution sama ada akan mencabar Rafizi atau tidak namun khabarnya kempen pemilihan dalam PKR dikatakan ‘lebih hebat’ daripada pemilihan dalam UMNO…apakah yang ‘lebih hebat’ itu? Cuma penulis boleh katakan ia perkara biasalah apabila parti sudah ada kuasa.

