‘PERGOLAKAN’ dalaman melibatkan Bersatu Perak didakwa semakin meruncing susulan isu pertukaran kerusi wakil rakyat parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Isu tersebut dikatakan semakin memberi impak apabila terdapat ura-ura bahawa majoriti Ketua Bahagian Bersatu Perak meminta supaya Ketua Badan Perhubungan Bersatu Negeri Perak iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digantikan.
Memetik laporan FMT, perkara itu didedahkan seorang daripada Ketua Bahagian Bersatu di Perak yang enggan dinamakan.
Menurut laporan tersebut, Ketua Bahagian Bersatu itu mendedahkan seramai 16 daripada 24 Ketua Bahagian Bersatu di Perak tidak mahu bersetuju dengan cara Ahmad Faizal atau dikenali sebagai Peja membuat cadangan supaya ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ditukarkan tempat duduk dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.
Malah, kata sumber tersebut, terdapat akuan bersumpah (SD) yang telah ditandatangani supaya kedudukan Peja dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain.
Pada masa sama, pemimpin berkenaan juga menyifatkan tindakan Ahmad Faizal itu sebagai ‘memalukan’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“SD itu minta kedudukan Peja dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain, ramai tidak setuju kerana tidak dimaklumkan pertukaran kerusi itu sebelum permohonan rasmi dibuat ke DUN.
Baca artikel lain: Kerajaan negeri tidak mampu bantu Perak FC – MB
“Surat itu diberi kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin pada minggu lalu, sekarang kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya menurut laporan itu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Perikatan Nasional (PN) menghantar surat ke Pejabat Speaker DUN bagi menukar tempat duduk dua ADUN Bersatu iaitu Zainol Fadzi dan Nadziruddin semasa persidangan DUN berlangsung.
Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan surat tersebut ditandatangani oleh Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PN Perak dan diterima pada 16 April lalu.
Zainol Fadzi, yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal, sebelum ini duduk bersebelahan dengan Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria sebagai Ketua Whip Pembangkang. Beliau merupakan ADUN empat penggal sejak 2008.
Sementara itu, Nadziruddin yang baru pertama kali bergelar ADUN selepas PRU15, kini diletakkan sebaris dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri. Beliau juga telah dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perak menggantikan Zainol Fadzi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

