Hidu bau ketiak, nafas, kaki dan lampin. Itu perlu dilakukan oleh penguji bau badan ini

Dari Penulis

Ada pelbagai jenis pekerjaan di dunia ini. Sempena hari pekerja esok, kami nukilkan kisah tentang satu pekerjaan yang boleh dikatakan agak pelik.

Tahukah anda, sebelum deodoran dihasilkan ia mestilah diuji terlebih dahulu sebelum dipasarkan.  Uniknya, ketika proses ujian dilakukan, ia tidak menggunakan sebarang bantuan alatan berteknologi tinggi, tapi diuji dengan menggunakan hidung manusia.

Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang kelakar dan janggal, tapi ia adalah pekerjaan yang benar-benar wujud dan ditawarkan kepada sesiapa yang layak. Syaratnya, orang itu perlu memiliki deria yang tajam untuk digelar sebagai penguji bau badan profesional.

Antaranya, jawatan tersebut ditawarkan di sebuah makmal di Amerika Syarikat. Ia diwujudkan oleh pihak makmal berkenaan sebagai pelengkap kajian yang membabitkan apa sahaja permasalahan berkaitan bau badan manusia.

Untuk pemahaman yang lebih mudah, seseorang yang bekerja sebagai penguji bau badan profesional ini akan menghidu setiap bau badan sukarelawan yang dipilih menggunakan hidung mereka.

Jangka waktu ujian dijalankan selalunya tidak mengambil masa yang lama, tetapi tempoh penyelidikan kemungkinan bergantung kepada jenis bau deodoran yang ingin dihasilkan. Biasanya, ia memakan masa selama berbulan-bulan.

Apa sahaja bau badan yang dihidu akan dianalisa dan direkodkan dalam kategori yang dikhaskan. Apabila penyelidikan yang dijalankan telah lengkap, keputusan kajian akan dihantar kepada syarikat-syarikat pengeluar deodoran yang mendapatkan khidmat dari makmal tersebut, seterusnya dijadikan sebagai formula untuk menghasilkan produk deodoran yang bermutu.

Pekerjaan ini terbuka kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun wanita. Apa yang penting, calon-calon mestilah memiliki deria yang tajam dan ekstrem pada apa jua jenis bau sebelum bergelar penguji bau badan profesional. Sekalipun kerjaya ini nampak remeh dan aneh, tetapi ia mempunyai peranan penting dalam penghasilan sesebuah produk bauan.

Salah seorang individu yang menjawat jawatan sebagai penguji bau badan profesional ini ialah Betty Lyons, seorang juruteknik bau dari Amerika Syarikat.  Menurut Lyons, beliau ditawarkan jawatan tersebut secara kebetulan ketika menjadi salah seorang sukarelawan yang membenarkan bau badannya dihidu oleh penguji.

Lysons menerima tawaran tersebut dengan upah yang sangat lumayan. Sebelum menjadi penguji bau profesional, beliau terlebih dahulu dilatih selama setahun untuk mempelajari setiap jenis bau badan manusia.

Jelas Lyons, ketika mula-mula melakukan pekerjaan tersebut, dia agak kekok kerana terpaksa menghidu pelbagai bau busuk iaitu bau ketiak, nafas, kaki dan lampin. Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad berkecimpung dengan kerjaya berkenaan dan menghidu beribu jenis bau, dia sudah mampu membiasakan dirinya, serta gembira dengan kerja yang dilakukan.

Bagi Lyons, ia merupakan pekerjaan yang sangat ringkas, tetapi mempunyai matlamat yang mulia kerana dapat membantu manusia lain yang menghidapi masalah bau badan. Kebolehannya sangat berguna kepada syarikat-syarikat pengeluar deodoran di Amerika Syarikat yang mahu menganalisis produk-produk baru keluaran mereka.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This