Ini kisah lelaki yang mencari rezeki dengan ‘menangkap’ mayat di sungai paling berbahaya di dunia

Dari Penulis

Sungai Kuning atau atau Huang He merupakan sungai kedua terpanjang di China selepas Sungai Yangtze. Dan sungai sepanjang 5464 kilometer ini juga adalah sungai yang keenam terpanjang di dunia.

Sungai ini dipanggil ‘sungai kuning’ kerana airnya yang berwarna kekuningan kesan daripada endapan lumpur yang dibawa arus sungai. Sungai ini bukan saja terkenal sebagai saksi yang melihat pelbagai kelahiran tamadun awal di China sejak lima ribu tahun yang lalu, namun ia juga antara sungai paling berbahaya di dunia kerana sering mengalami banjir besar yang mengakibatkan jutaan nyawa terkorban.

Sungai Kuning @ Yellow River.

Pun begitu, sungai ini telah menjadi punca rezeki kepada penduduk tempatan sejak ribuan tahun lalu. Bukan sekadar menangkap ikan, kawasan lembah berdekatan sungai ini juga subur untuk pertanian dan penternakan.

Namun, ada juga kisah berbeza bagaimana sungai ini menjadi lubuk rezeki dalam cara yang agak aneh. Pernah dilaporkan dahulu, seorang lelaki, Wei Xinpeng turun ke Sungai Kuning seperti nelayan-nelayan lain untuk mencari rezeki. Cuma, apa yang membezakannya ialah tangkapannya bukan ikan, tetapi mayat!

Ya, lelaki ini turun ke sungai itu untuk mencari mayat-mayat manusia yang mati akibat kemalangan, dibunuh atau membunuh diri. Kedengaran pelik kerja yang dilakukan lelaki ini. Namun, XinPeng sudah melakukan kerja ini sejak tahun 2003. Sedikit pun tiada rasa takut atau menyesal kerana memilih menarik mayat berbanding ikan dari sungai tersebut.

Kisah XinPeng yang mencari mayat di sungai ini sebagai sumber pendapatan pernah mendapat perhatian media dahulu.

Sejak mula mencari mayat, Xinpeng sudah arif dengan selok-belok dan aliran sungai tersebut sehingga lelaki ini boleh mengetahui lubuk atau lokasi di mana mayat manusia sering ditemui.

Menurut Xinpeng, satu kelaziman sebaik saja turun ke Sungai Kuning ialah dia akan memerhatikan ke mana aliran arus sungai. Dia kemudian mendayung sampannya mengikuti aliran arus sungai tersebut sehinggalah membawanya kepada penemuan mayat-mayat tersebut.

Sejak menggunakan teknik tersebut, Xinpeng mendakwa telah berhasil menarik sekitar 500 mayat dari dalam sungai. Bentuk setiap mayat yang dijumpai juga bermacam-macam. Ada yang dalam keadaan tertiarap, berlumpur, membengkak dan hampir-hampir reput.

Apa yang dilakukannya dengan mayat-mayat itu?

Setiap kali mendapat hasil tangkapan, mayat-mayat itu diikat pada sampan lalu dibawa dan dikumpulkan di sebuah kawasan teluk kecil yang terlindung daripada arus deras. Kemudian, XinPeng akan menghebahkan berita tersebut kepada pihak media tempatan berserta bentuk fizikal mangsa.

Keluarga mangsa biasanya akan terus menghubungi Xinpeng untuk mengecam mayat. Setelah satu pertemuan diatur, Xinpeng membawa keluarga mangsa ke teluk kecil tempat ‘parkir’ mayat-mayat yang ditemuinya. Saat itu bermulalah proses urus niaga.

Banyak mayat ditemui kerana sungai ini turut menjadi salah satu lokasi popular untuk mereka yang membunuh diri.

XinPeng akan mengenakan sedikit caj untuk membalikkan tubuh mayat sekiranya pihak keluarga ingin melihat wajah mangsa. Jika ahli keluarga mahu membawa mayat tersebut pulang, mereka harus membayar wang tebusan terlebih dahulu.

Bayaran yang dikenakan juga berbeza-beza bergantung pada status keluarga terbabit. Sebagai contoh, XinOeng meminta sekitar USD75 daripada keluarga petani dan sebanyak USD300 hingga melebihi USD500 daripada keluarga berstatus tinggi.

Sewaktu kisah Xinpeng dilaporkan media, dia telah berjaya menjual lebih 40 mayat. Katanya, ahli keluarga si mati tidak pernah marah dengan tindakannya meminta wang tebusan tersebut. Tetapi, ada juga antara keluarga mangsa yang enggan membayar wang tebusan malah pulang begitu saja tanpa membawa mayat saudara mereka.

Dalam kes sebegini, Xinpeng harus menjaga maruah si mati dengan mengebumikan sendiri mayat tersebut. Urusan ini harus disegerakan kerana bimbang mayat membusuk. Demikianlah kesibukan Xinpeng mengerjakan mayat-mayat yang ditemuinya.

Sebelum memutuskan untuk bekerja sebagai pencari mayat, XinPeng pernah mengusahakan kebun buah pear. Namun pendapatannya tidaklah banyak mana iaitu sekitar 4,000 yuan saja setahun. Pendek kata, gajinya terdahulu jauh berbeza dengan pendapatannya mencari mayat yang lebih tinggi dan lumayan.

Ada juga yang mencemuh kerjanya ini dan dia dituduh mengambil kesempatan ke atas jasad manusia itu. Namun bagi XinPeng, kesanggupannya bekerja sebagai mencari mayat bukan semata-mata kerana wang. Tapi ia lebih kepada bersifat peribadi.

Menurut XinPeng, anaknya sendiri telah meninggal dunia di sungai tersebut. Tambah menyakitkan, mayat anaknya masih belum berjaya dijumpai. Sebab itulah dia bersungguh-sungguh mencari dan menguruskan mayat yang terapung mati. Meskipun mayat yang dijumpainya itu bukan jasad anaknya, tapi dengan cara ini sajalah segala kesedihan kehilangan anaknya akan terubat.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pontianak rambut panjang… Misteri Highland Towers tidak pernah  berakhir

Malam itu masih segar dalam ingatan segelintir penduduk sekitar Highland Towers. Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, kenangan terhadap...

More Articles Like This