Hari ini, banyak negara di dunia menyediakan khidmat penghantaran menggunakan motosikal, termasuklah di Malaysia. Dengan motor, mereka bukan saja menawarkan khidmat membawa penumpang, tetapi juga menyediakan pelbagai tawaran lain seperti menghantar dokumen, makanan, barang dan keperluan harian.

Tapi, pemandangan ini agak berlainan jika di Republik Demokratik Congo. Di negara tersebut, rakyatnya melakukan pelbagai khidmat dengan motosikal. Bukan sekadar membawa barang yang biasa, mereka juga diupah untuk membawa barang-barang besar seperti peti ais, almari, kerusi, tilam dan pelbagai barang kelengkapan rumah.

Pemandangan biasa di Congo.

Jangan terkejut, mereka turut mengambil upah membawa haiwan ternakan seperti lembu dan kambing ke ladang atau ke rumah tuannya dengan motosikal.

Kedengaran kelakar, bukan? Tunggu, ada yang lebih dahsyat daripada itu. Di negara tersebut, jangan terkejut jika si pembawa motosikal turut mengambil upah untuk menghantar mayat. Ya, hantar mayat dengan motosikal!

Di Congo, melihat motosikal membawa mayat bukan perkara aneh. Usahkan haiwan ternakan, khidmat motor yang dipanggil ‘boda-boda’ ini turut menawarkan penghantaran mayat ke tanah perkuburan. Bunyi memang pelik, tapi itu perkara yang berlaku di sana.

Sekali imbas, nampak biasa. Tetapi yang membonceng di belakang itu sebenarnya adalah mayat.

Ada cara untuk membawa mayat ini. Tubuh mayat dibungkus menggunakan apa adanya, seperti kain, kertas mahupun plastik hitam. Teknik mereka membungkus mayat terlihat ala kadar. Ada yang ditutup sampai ke pinggul. Ada pula sekadar menutupi bahagian kepala dan muka sahaja. Manakala tangan dan kaki terkulai ke bawah.

Bagi mengelak mayat terjatuh dari motosikal, pengusaha boda-boda ini selalunya akan memperlakukan si mati seperti penumpang biasa. Tubuh kaku si mati dibiarkan dalam posisi duduk tetapi dililit dengan tali atau kain dan kemudian diikat pada badan penunggang motor. Walaupun ramai tidak sanggup melakukannya, namun pekerjaan ini sudah menjadi sumber pendapatan mereka yang dikirakan agak lumayan.

Hantar mayat dengan motor juga jadi sumber pendapatan.

Awal dahulu, khidmat menghantar mayat guna motosikal di Congo tidak mendapat sebarang sambutan. Namun kini, ia semakin popular terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan daripada segi kewangan.

Walaupun boda-boda menyatakan kesediaan membawa orang yang sudah tidak bernyawa, itu tidak bermakna mereka menerima semua mayat. Lagi-lagi jika meninggal dunia disebabkan penyakit berjangkit seperti taun. Ini kerana mereka bimbang jika penyakit tersebut menjangkiti mereka atau penumpang lain.

Mereka yang menyediakan khidmat penghantaran dengan motor di Congo dipanggil ‘boda-boda’.