Penubuhan ECRL Operation Sdn Bhd akan memerlukan sebanyak 1,800 tenaga kerja apabila fasa pengoperasian ECRL bermula pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah tersebut, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus atau 1,440 tenaga kerja akan terdiri daripada warga tempatan.
Beliau berkata, tenaga kerja itu akan terdiri daripada pelbagai tahap kepakaran, meliputi pekerja berpengalaman dan pekerja baharu, bagi memastikan operasi ECRL dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.
“Hari ini kita mencatat satu lagi pencapaian penting apabila fasa O&M akan diperkasakan dengan bakat-bakat baharu tempatan melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL).
“Program ini adalah inisiatif MRL bersama CCCC yang bertujuan untuk melatih serta menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan bermula sejak tahun 2017 lagi.
“Melalui program ini, anak-anak tempatan diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja ECRL, bukan sahaja dalam fasa pembinaan, malah dalam fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL Bagi Fasa O&M ECRL di ibu negara, hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Loke berkata, PLKI-ECRL kini melangkah ke hadapan dengan memberi fokus dalam mempersiapsiaga fasa O&M.
Katanya, program itu menyasarkan untuk memberi manfaat latihan dan peluang pekerjaan kepada seramai 3,200 pelatih secara keseluruhan bagi fasa O&M.
Menurut Loke, sebagai permulaan, pada tahun ini, seramai 210 pelatih dari Malaysia, yang datang daripada pelbagai latar belakang akan dihantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun.
“Kumpulan pertama terdiri daripada 102 orang, dijadualkan akan berlepas ke China secara berperingkat bermula pada 15 Mei ini bagi memulakan latihan.
“Para pelatih yang terdiri daripada bidang teknikal dan bukan teknikal ini akan mengikuti latihan komprehensif yang merangkumi teori, amali, serta pengalaman sebenar dalam operasi sistem rel.
“Latihan ini bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir untuk jawatan seperti Assistant Station Attendant, Signaling Technician, Assistant Train Driver, Overhead Line Technician dan juga E- Loco & Electric Multiple Unit (EMU) Maintenance Technician,” katanya.
Loke menambah,para pelatih dalam program itu dijamin peluang pekerjaan bersama ECRL sebaik sahaja tamat latihan.
Untuk maklumat lanjut mengenai peluang pekerjaan yang akan ditawarkan oleh ECRL, bolehlah melayari laman web ecrl.com.my.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

