Hilangnya jiwa bangsa dan bahasa Melayu di Malaysia

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI A.S

JIKA dieja Menara Kuala Lumpur dengan tulisan jawi, terasa gah dan megahnya. Tetapi jika “Kuala Lumpur Tower” ditulis dalam jawi semacam ada perasaan janggal dan pelik.

Silap hari bulan dibaca “Kuala Lumpur Tawar” oleh mereka yang kurang arif ejaan jawi. Ya, setawar namanya yang baharu. Ibarat gulai tanpa garam dan asam. Hilang keaslian dan jati dirinya selama ini. Itulah antara renungan paling halus, namun sangat dalam maksudnya.

Merujuk tulisan jawi ia bukan sekadar isu tulisan tetapi merupakan cerminan kehilangan jiwa terhadap bahasa dan budaya Melayu asli itu sendiri.

Tulisan jawi bukan sekadar satu sistem tulisan. Ia adalah lambang ketamadunan Melayu-Islam yang telah bertapak sejak ratusan tahun, menjadi nadi surat-surat diraja, catatan sejarah, hukum-hakam Islam dan ilmu pengetahuan dari istana ke surau. Dari papan tanda hingga ke madrasah, jawi pernah menjadi wajah sebenar bangsa ini.

Menara KL gah tapi jiwa kita kosong. Walaupun menara berdiri megah (?), tetapi namanya kini telah kehilangan roh. Apakah kita mahu anak cucu kita nanti hanya kenal tempat ini sebagai “KL Tower” tanpa tahu ia pernah dinamakan Menara Kuala Lumpur, sebuah nama yang ada identiti dan jiwa.

Apakah lagi yang mahu “dilLondonkan” wahai pemimpinku? Jika segala urusan rasmi dan jenama dalam negeri pun perlu “dilLondonkan”, maka tidak mustahil nanti seluruh negara ini menjadi sekadar “a formal Malay land with a colonial soul”.

Berbeza kita dengan bangsa Jepun bagaikan langit dengan bumi dengan mereka yang berslogan “wakon yohsai”, tetap bersemangat dan berjiwa Jepun walaupun berteknologi barat.

Namun jelas sehingga dekad ini kita terus kehilangan cita rasa, jati diri dan termasuk tulisan jawi, seiring dengan terhakisnya rasa cinta terhadap bahasa negara sendiri, bahasa Melayu. Tanpa sedar kita telah digerakkan, dibuai perlahan-lahan untuk berasa moden dan canggih dengan menukar nama dan istilah Melayu khususnya kepada bahasa Inggeris.

Lebih tragis lagi orang Melayu, penjawat awam hatta pemimpin politik dan ahli korporat sendiri yang menjadi ejen sukarela untuk menyambung tugas penjajah yang tidak sempat disudahkan oleh British dahulu.

Sukar untuk difahami secara logika di sebalik pertukaran nama Menara Kuala Lumpur kepada “KL Tower”. Tiada sebarang nilai tambah ekonomi pun, tiada kelebihan dari segi pemasaran global. Tetapi itulah hakikatnya, minda kita telah dijajah.

Apabila nama berbahasa Inggeris digunakan kita berasa gah dan moden, seakan terbang tinggi di awang-awangan sedangkan jika dieja dalam tulisan jawi, menjadi pelik dan menggelikan hati. Ironinya bahasa Melayu dahulu yang telah mengangkat martabat tamadun kini dianggap tidak lagi bernilai ekonomi, tidak global dan ketinggalan zaman. Banyak bangunan dan kompleks di ibu kota yang setelah disolek sedikit “bedak” Inggeris terus dianggap naik tarafnya.

Inilah mentaliti kebanyakan pemimpin dan orang kita. Bahasa penjajah dirasakan lebih tinggi nilainya daripada bahasa negara sendiri. Bukan salah ibu mengandung. Terlalu banyak contoh yang mencolok mata. Kerinchi hilang berganti Bangsar South.

Baca artikel lain: MCMC turunkan lebih 40,000 kandungan palsu, scam di platform dalam talian

Yang ada Puchong Gateway dan Bangi Gateway dan bukannya “Gerbang” Puchong atau Bangi. Yang terhidang di mata, “Southville City, Sunway City, I-City, Proton City dan seribu satu “city” serta “heights” lagi. Di manakah amanah bahasa negara dilontarkan oleh PBT dan semua kementerian yang ada?

Jika benar kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, maka marilah bersama-sama mengangkat kembali dengan jujurnya bahasa Melayu dan tulisan jawinya sebagai tulisan dan warisan kebangsaan yang amat berharga.

Kita wajib berani menamakan bangunan, produk dan program dalam bahasa Melayu bertulisan rumi dan jawi bersekali sebagai bukti kita bangga dan tidak malu untuk menggunakannya.

Penggunaan tulisan jawi selama ini, sejak tahun 1960-an lagi misalnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang tidak pun menjadi masalah besar atau gawat.

Jawi umpama seni kaligrafi dalam tulisan Cina. Tidak perlu sebarang pandangan serong oleh sesiapa pun. Kita perlu rasional tanpa prejudis atau bersikap rasis dalam hal ini.

Kita mesti sedar bahasa adalah perisai terakhir jati diri negara ini dan tulisan jawi adalah sebahagian daripada rohnya. Apabila tulisan jawi gugur, gugurlah satu-satunya akar sejarah yang menghubungkan kita dengan warisan gemilang bangsa Melayu di nusantara dan di dunia ini.

Bahasa Melayu tidak rendah nilai ekonominya. Yang rendah ialah jiwa kita sendiri. Akal, budi dan minda kita yang terjajah jika kita terus malu dengan nama dan tulisan sendiri.

Jangan bangga dengan “banana fritters” apabila kita ada pisang goreng. Kita menyambut dengan mesra sekali sushi, sashimi, takoyaki tanpa terjemahan. Kita sebut “croissant” dan “baguette” tanpa langsung berasa janggal.

Tetapi kenapa apabila kita menjual pisang goreng kita malu dan tukar namanya kepada “banana fritters”? Kenapa kita bangga menamakan tempat dengan istilah asing sedangkan George Town boleh saja dinamai Tanjung, Butterworh dinamai Bagan, Port Dickson Pantai Dermaga?.

Nama bukan sekadar label. Nama adalah wajah dan cerminan budaya. Nama adalah naratif yang membina memori sejarah, warisan budaya dan rasa bangga. Apabila semua tempat, acara, bangunan dan produk dilabel dalam bahasa Inggeris maka lambat-laun jiwa bangsa ini akan terus percaya bahawa bahasa Inggeris itu sangat bernilai.

Meninggalkan tulisan jawi membawa makna bahasa Melayu kehilangan roh dan akar sejarahnya. Jawi bukan sekadar alat. Jawi adalah simbol warisan. Umpama tulisan Cina dan kaligrafinya.

Apabila jawi tidak dipelajari di sekolah kebangsaan dan tidak dipaparkan di papan tanda, tidak digunakan dalam surat rasmi, maka perlahan-lahan tulisan jawi akan tertolak ke tepi, dianggap eksotik, tradisional dan usang. Ini adalah jarum halus yang menusuk ke dalam sistem pendidikan dan budaya kita. Penjajah tidak perlu lagi memaksa. Kita sendiri yang rela menyambut dan mengekalkan dasar warisan kolonial.

Bahkan lebih menyedihkan apabila sesetengah pihak mencadangkan Keretapi Tanah Melayu juga digugurkan kerana Tanah Melayu padanya tidak wujud lagi. Tidak sedar mereka yang menjadikan Malaysia ialah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Mereka mahu digantikan dengan nama yang lebih canggih dan pastinya bahasa Inggeris.

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Rabbani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This