Gelas kaca bunga merah dalam almari usang, hadiah termahal di hari guru

Dari Penulis

INGATAN silam ku imbau kembali tatkala mengemas almari yang mengandungi koleksi barang-barang lama. Lantas mata terpaut pada sebiji gelas. Ia hanya gelas biasa, bukan lah barangan mewah. Namun, gelas itu sangat mahal buat ku. Ia hadiah yang ku anggap paling mahal pernah ku terima sebagai seorang guru.

Gelas itu menggamit memori lampau, mengingatkan aku kepada Kamil – seorang pelajar lelaki bertubuh kecil dan bermata cengkung. Ketika itu aku sedang menjalani latihan praktikal sebagai guru pelatih di sebuah sekolah menengah di utara tanah air.

Kamil sebenarnya seorang pelajar yang baik dan rajin. Wataknya yang pendiam dan suka menyendiri selalu mencuri pandangan ku. Dia selalu membungkam seribu bahasa. Pandangan matanya sayu dan raut wajahnya menggambarkan kemelut hidup yang sukar untuk ditafsirkan. 

Suatu hari, aku beriringan dengannya sewaktu pulang dari sekolah. Dia menuntun basikal berpalang yang tidak sepadan dengan saiz badannya yang kecil. 

Cepat-cepat dia mengayuh basikal tua itu ketika aku membuka cermin kereta mahu bertanyakan sesuatu (waktu itu aku menumpang kereta seorang guru yang tinggal berdekatan dengan rumah sewa ku). Aku hanya melewati pandangannya ketika kami terpisah di persimpangan jalan. Kamil mengayuh, tidak menoleh lagi.

Selepas itu, aku mulai menyiasat latar belakang kehidupan Kamil. Dia anak sulung daripada empat orang beradik. Kamil anak yatim. Ayahnya meninggal dunia kerana dipanah petir sewaktu menangkap ikan di laut. Ibunya hanya bekerja kilang membesarkan anak-anak sendirian. 

Aku menghela nafas panjang selepas mendapat maklumat daripada beberapa orang rakan guru senior mengenai Kamil. Tidak hairan lah dia selalu menghadapi masalah kewangan. 

Sebagai seorang remaja yang baru berusia 14 tahun dan anak sulung, Kamil adalah anak yang diharapkan dapat membantu adik-adik ketika ibunya keluar bekerja.  Adiknya yang kecil baru berusia 8 tahun.

SUATU hari, selepas Kamil tidak hadir ke sekolah selama tiga hari , aku dengan ditemani oleh Encik Nordin (seorang guru Penolong Kanan) datang untuk menziarahi Kamil dan keluarganya.  

Laluan ke rumahnya yang terletak di belakang stesen kereta api dan agak sempit menyebabkan Nordin terpaksa berpusing beberapa kali sebelum dapat memakir keretanya di jalan besar.

Berpeluh juga kami mencari rumahnya. Setiap kali kami bertanya kepada beberapa orang di kawasan perumahan setinggan itu, mereka menyangka kami datang dari Jabatan Kemasyarakatan. Kami hanya tersenyum dan mengangguk-angguk. Tentu kesusahan keluarga Kamil sudah diketahui oleh jiran tetangganya, fikir ku sendirian.

Memang aku terkesima sewaktu menjejakkan kaki ke rumah Kamil.  Rumah yang sempit dan kecil itu hanya ada satu ruang bilik tidur. Manakala di ruang tamunya hanya terbentang sehelai tikar lusuh. 

Dari arah ruang tamu, aku boleh melihat terus ke ruang dapur. Tidak banyak perabot, hanya ada meja kecil untuk makan. Di sudut tepi, terdapat sebuah almari usang. Aku sempat memerhati, terdapat satu set gelas kaca berserta jag dengan corak bunga-bunga berkuntum lapan berwarna merah yang terjaga rapi dalam almari usang itu. Aku dapat merasakan set gelas itu merupakan antara barang yang bermakna dan disayangi oleh keluarga Kamil.

Sebenarnya, kemiskinan bukanlah perkara asing dalam hidup ku kerana aku sendiri berasal dari keluarga yang susah. Cuma, keadaan rumah Kamil yang uzur itu membuatkan hati ku tersentuh. Bumbung yang bocor jelas terlihat di sana sini. Lantai bahagian dapur juga sudah sengit mencondong.

Kedatangan kami ketika itu disambut oleh ibu Kamil. Hari itu dia tidak bekerja kerana menjaga Kamil yang demam panas beberapa hari. Ibu tunggal itu melayan kami dengan baik dan menghidangkan kami dengan air teh tanpa gula dan sedikit biskut kering.

Sekembalinya aku ke sekolah pada keesokan harinya, beberapa susulan bantuan dicadangkan untuk keluarga Kamil selepas aku berbincang dengan seorang guru pembimbing dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.   

Sebagai guru pelatih, aku hanya mampu mendorong dan membantu Kamil dan rakan-rakannya untuk meningkatkan prestasi melalui sokongan moral. Ketika itu, aku dapat merasai manisnya kerjaya seorang guru yang sentiasa berpeluang mencurahkan bantuan dengan pelbagai cara. Bahkan, hubungan aku dengan Kamil jadi lebih erat selepas peristiwa bertandang ke rumahnya itu.  

LEBIH kurang sebulan selepas itu, tiba sambutan Hari Guru. Pengalaman itu memang menyeronokkan, maklumlah itu kali pertama aku meraikan hari bermakna itu sebagai guru (walaupun hanya guru pelatih). 

Keterujaan ketika menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ sukar dilupakan.  Saat paling mengharukan ketika para pelajar menghulurkan hadiah. Aku masih ingat, aku terdiam sewaktu Kamil menghulurkan bungkusan hadiah yang hanya dibalut dengan surat khabar kepada ku. Beberapa kali dia berbisik kepada ku agar membuka hadiah tersebut di rumah. 

Ketika mata kami bertentang, dada ku menjadi sebak dan sayu. Entah kenapa hadiah yang berbalut surat khabar itu begitu menyentuh hati ku. Dalam keadaan hidup yang miskin, Kamil masih berusaha memberi hadiah sebagai tanda penghormatannya kepada ku sebagai seorang guru.

Tiba di rumah, antara hadiah yang ku terima, bungkusan yang diberi Kamil ku buka dahulu. Sehelai demi sehelai bungkusan surat khabar dibalut sehingga aku dapat menggenggam balutan kecil hadiahnya.

Apabila balutan terakhir ku buka …. sebiji gelas! 

Ingatan aku masih segar dengan gelas kaca berbunga merah yang pernah ku lihat di dalam almari usang di rumah Kamil sebelum itu. Rasa sedih dan sayu datang bertubi-tubi. Jiwa besar pelajar ini masih ada untuk seorang guru pelatih yang hanya dikenali baru beberapa bulan. 

Petang itu, sekali lagi aku pergi ke rumah Kamil. Aku berhasrat mengembalikan gelas yang sebiji itu kepada ibu Kamil kerana aku dapat merasakan gelas tersebut merupakan barang yang berharga untuk keluarga Kamil. Pada pendapat ku, kalau aku menerima gelas ini, tidak lengkaplah set gelas dalam almari kepunyaan ibu Kamil nanti.

Ketika aku sampai lewat petang di rumah Kamil, ibunya baru pulang dari kilang. Dia menolak hasrat ku dengan baik.  Aku menyusun ayat dengan sopan, agar dia tidak berkecil hati. 

Ibu Kamil mengatakan aku tidak perlu menolak pemberian itu kerana dia tidak mahu Kamil berkecil hati. Rupa-rupanya sudah beberapa hari Kamil meminta ibunya untuk membelikan hadiah untuk ku, tetapi ibu Kamil mengatakan dia tidak mampu. Mungkin itulah sebabnya Kamil mengambil gelas itu untuk dihadiahkan kepada ku. 

“Maafkan dia cikgu. Dia tak berniat nak menghina cikgu tapi hanya itu yang termampu diberikannya. Cikgu simpanlah gelas tu. Gelas ini amat bermakna bagi keluarga kami. Ia satu-satunya peninggalan arwah bapa Kamil yang masih elok. Saya bahagia cikgu, jika itu boleh membuat Kamil gembira.”

Begitu kata-kata ibu Kamil yang masih ku ingat dan membuat aku terpaku. Kata-kata ikhlas daripada seorang ibu yang berjiwa besar. Dia tidak kisah hilang barang yang disayanginya demi menghormati tetamu dan menjaga hati anaknya.

Sejak hari itu, hubungan aku dengan Kamil bertambah rapat dan perhatian yang ku berikan kepadanya membuatkan Kamil semakin rajin belajar dan menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.

Pada hari terakhir aku menjalani latihan praktikal di sekolah itu, aku menghadiahkan satu set hidangan cawan teh kepada Kamil. Ketika itu, dengan elaun sebagai guru pelatih, aku rasakan hadiah itu paling mahal pernah ku beli untuk seseorang yang istimewa. Seorang yang telah mendidik ku erti penghargaan dan penghormatan. 

Kamil menerima hadiah dari ku dengan linangan air mata. Jauh di sudut hati, aku mendoakan nasib Kamil dan keluarganya akan berubah di masa akan datang.

Sehingga hari ini, gelas pemberian Kamil masih tersimpan rapi di dalam almari rumah ku.  Ia hadiah termahal yang ku anggap amat istimewa kerana diperoleh  daripada seorang anak dan ibu yang berjiwa besar.

Kamil, walau di mana saja kamu berada tatkala ini, cikgu doakan agar Kamil sentiasa berjaya dan menjadi insan yang cemerlang dalam kehidupan.

Catatan memori,

CIKGU MIZI, SMK TUN FATIMAH HASHIM, PASIR GUDANG , JOHOR.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This