Seorang juruteknik maut selepas van dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Aliff Fakhrullah, berasal dari Kampung Paman, Kemaman disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mangsa seorang juruteknik dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kemaman.
Katanya, van Nissan dipandu mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
“Pemandu van disahkan maut di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemandu treler berusia 28 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

