OLEH: KAMAL SHUKRI A.S
INDONESIA hari ini berdiri sebagai negara besar yg dihormati di pentas dunia. Namun, dalam keghairahan membina identiti nasional pascakolonial, Indonesia telah melakukan kesilapan besar tidak memartabatkan bahasa Melayu sebagai warisan budaya dunia kepada UNESCO, sebaliknya memilih bahasa Indonesia.
Bahasa Indonesia memang penting sebagai bahasa kebangsaan moden, tetapi ‘bahasa Indonesia’ terlalu muda dan terlalu ‘dibentuk’ untuk membawa beban sejarah agung yang melahirkan peradaban Nusantara beratus tahun lamanya.
Dalam usaha menjadikan ‘bahasa Indonesia’ sebagai lambang kemajuan moden, kita terlupa bahawa kekuatan sesuatu bangsa juga datang daripada akar sejarah dan tamadun asalnya.
Bahasa Indonesia pada hakikatnya adalah ‘anak’ kepada bahasa Melayu. Bahasa Indonesia secara teknikal dan ilmiah ialah varian moden kepada bahasa Melayu.
Bahasa Indonesia diambil daripada dialek Melayu Riau-Johor yang telah disederhana dan disesuaikan untuk menjadi alat perpaduan nasional pada awal abad ke-20.
Sejak Kongres Pemuda 1928, bahasa ini mulai dinamakan ‘bahasa Indonesia’ walaupun tidak banyak bezanya daripada bahasa Melayu pada ketika itu baik dari segi kosa kata mahupun tata bahasa.
Namun ironinya, walaupun bahasa Indonesia muncul sebagai lambang nasionalisme moden, bahasa ini lahir daripada akar budaya yang sudah megah sebelum kehadiran Belanda.
Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi tetapi bahasa ilmu, agama, undang-undang dan bahasa diplomasi di seluruh kepulauan Melayu di nusantara ini.
Bahasa Melayu telah merentasi sempadan etnik dan agama, jauh sebelum konsep bahasa Indonesia itu diperkenalkan kepada rakyat Indonesia seluruhnya.
Hingga kini novel tulisan sasterawan Indonesia tersohor misalnya, tetap diburu pembaca Malaysia kerana masih boleh difahami kerana penggunaan bahasa Melayunya walaupun tentunya sedikit bercampur dengan bahasa daerah di sana. Tafsir al-Azhar karya Buya Hamka juga amat laris di Malaysia.
Bahasa Melayu beraksara jawi merupakan tulisan peradaban Melayu dan bukan sekadar simbol agama. Sebahagian sejarah persuratan Melayu termasuk Sumatera, Kalimantan, pulau Jawa, Sulawesi dan malah Papua telah ditulis dalam aksara Jawi.
Dari surat-surat kerajaan, kitab Fekah, hikayat, sejarah, undang-undang maritim semuanya menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi. Aksara Jawi merupakan bukti bahawa masyarakat nusantara dahulu memiliki tamadun menulis yang tinggi.
Namun penjajahan Belanda telah memutuskan kesinambungan ini. Dengan dasar pendidikan kolonial yang menghapuskan penggunaan jawi dan menggantikannya dengan tulisan rumi Latin, generasi baharu Indonesia akhirnya terpisah daripada naskah khazanah Melayu yang begitu kaya sekali.
Apabila tulisan jawi terpadam, manuskrip menjadi begitu asing kepada anak watan. Maka hilanglah satu rantaian penting dalam sejarah ketamadunan watan, hilang satu rantaian penting dalam tamadun Indonesia.
Bahasa Melayu adalah jejak global nusantara. Sebelum wujudnya Indonesia moden, bahasa Melayu telahpun menjadi bahasa rasmi dan lingua franca moden ratusan tahun.
Bahasa Melayu digunakan oleh pedagang Gujerat, Arab, China dan Turki ketika berurusan di pelabuhan penting seperti Palembang, Melaka, Aceh, Ternate dan Makasar.
Bahasa Melayu juga merupakan medium dakwah agama Islam di Asia Tenggara. Kitab Islam yang ditulis dan diterjemah dalam bahasa Melayu berperanan besar dalam pembentukan jiwa keagamaan masyarakat di nusantara.
Bahkan sultan-sultan di nusantara mengutus surat dalam bahasa Melayu bertulisan jawi kepada Maharaja China, Khalifah Uthmaniyah dan raja-raja Eropah.
UNESCO mengiktiraf warisan dunia bukan hanya kerana nilai linguistik dan populariti tetapi kerana nilai sejarah dan peradaban yang dibawanya.
Jika bahasa Melayu khususnya aksara Jawi dipertahankan dan diangkat sebagai Warisan Dunia ini akan serentak mengangkat bahasa Melayu ke tempat yang selayaknya.
Sayangnya ketika peluang muncul, Indonesia mencalonkan bahasa Indonesia tanpa mengaitkannya dengan warisan Melayu yang jauh lebih tua dan agung. Seolah-olah sejarah bahasa Melayu yang panjang itu tidak pernah wujud di Indonesia. Walhal manuskrip bahasa seperti undang-undang Melayu tertua di dunia seperti Undang-undang Kanun Tanah Kerinci ditemui di Sumatera.
Apakah yang Indonesia kehilangan? Indonesia telah kehilangan jambatan sejarah tanpa bahasa Melayu sebagai tapak. Bahasa Indonesia kehilangan kesinambungan kepada peradaban silam. Maka warisan itu tidak boleh lagi dikongsi dengan bangga oleh generasi kini.
Baca artikel lain: Bahasa Indonesia diiktiraf UNESCO, bahasa Melayu terpinggir: Di mana silapnya?
Indonesia kehilangan hak pemilikan budaya. Malaysia dan Brunei kini mendepani usaha mengangkat bahasa Melayu ke peringkat global. Bahasa Melayu telah dan terus merentas semua sempadan geografi sedangkan Indonesia yang paling banyak mewarisi manuskrip dan budaya Melayu semakin jauh daripada warisan sendiri. Alangkah malangnya.
Indonesia kehilangan potensi kepemimpinan budaya dalam dunia yang menghargai nilai asal-usul keaslian. Indonesia telah melepaskan peluang untuk menjadi pemimpin dalam pemuliharaan bahasa dan budaya Melayu di rantau ini.
Kembalilah ke pangkal jalan! Sudah tiba masanya Indonesia menilai semula pendirian budaya dan sejarahnya. Usaha memartabatkan bahasa Indonesia tidak salah tetapi perlulah disertai dengan pengiktirafan terhadap asal-usulnya yang tidak boleh dinafikan, bahasa Melayu.
Bahasa Indonesia tidak boleh ditegakkan tanpa tanah asal tempat ia tumbuh. Menafikan sejarah bahasa Melayu dalam bahasa Indonesia ibarat menafikan air sebagai asas kehidupan.
Penulisan semula sejarah bahasa ini bukan untuk menghidupkan nostalgia kosong tetapi untuk membina masa depan yang lebih kuat. Kita perlu berpijak pada asas budaya dan jati diri yang sahih.
Jika Indonesia ingin membina kekuatan budaya yang utuh maka Indonesia perlu memulakan dengan langkah yang betul, mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai warisan agung Nusantara lengkap dengan aksara Jawi dan sejarahnya yang gemilang.
Bahasa adalah jiwa bangsa. Sebuah bangsa yang hebat ialah yang menghormati sejarah dan memelihara warisannya. Bahasa bukan sekadar alat, tetapi jiwa yang mencorak fikiran, nilai dan cara hidup sesebuah masyarakat.
Jika kita mahu melihat peradaban Nusantara kembali gemilang, maka bahasa Melayu dan aksara Jawi wajib diangkat semula bukan sahaja oleh Malaysia tetapi juga oleh Indonesia sebagai pewarisnya yang terbesar.
Sebagai anekdot ringkas, semasa berkursus di Jepun kerana kelancaran saya dan teman dari Indonesia berbual, profesor bahasa Jepun kami bertanya, bahasa apakah yang kami gunakan.
Saya menjawab, bahasa Melayu. Teman Indonesia saya pula memberitahu dia berbahasa Indonesia. Seterusnya kami pula berdebat dan saya berikan hujah-hujahnya. Dia akur dengan berkata. Ya, induk bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu!.
Masih belum terlambat untuk Indonesia membetulkan arah. Dunia menanti dan sejarah juga sedang menulis.
Semoga bahasa Melayu kembali berdaulat dengan kesepaduan utuh, usaha bersungguh-sungguh khususnya Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Majlis Antarabangsa Brunei, Indonesia, Malaysia (MABBIM) yang telah lama wujud perlu digerak semula dengan lebih aktif berbanding dahulu.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

