POLIS sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita ketika mangsa berjalan kaki pulang dari tempat kerja di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.06 malam daripada mangsa yang berusia lingkungan 20-an.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.10 malam ketika mangsa berjalan seorang diri untuk pulang ke rumah melalui satu lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah diserang secara mengejut dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju berwarna merah dan seluar hitam.
“Suspek bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum melakukan perbuatan mencabul kehormatan mangsa dan melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman berkenaan kini tular di media sosial.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian harta benda dalam kejadian tersebut.
Sarudin berkata, polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terpelihara.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

