PENYANYI Syed Iqbal meluaskan muziknya selepas menandatangani kontrak secara rasmi di bawah label berteras keislaman Masyhur, milik Universal Music Malaysia.
Mengangkat tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup, lagu terbaharu berjudul Basstamam kini menemui para pendengar dengan nafas segar serta sarat emosi yang menyentuh jiwa.
Dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik hasil nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh, Basstamam membawa mesej murni tentang menenangkan insan yang kita sayang sama ada sahabat, keluarga atau kekasih untuk menikmati hidup tanpa terbeban dengan tekanan dan masalah.
Menurut Syed Iqbal, proses rakaman berjalan dengan lancar dan menyeronokkan, walaupun pada awalnya timbul sedikit rasa bimbang.
“Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat rentak dan berasa sangat gembira.
“Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” katanya.
Disusun indah oleh Wan Saleh dan diterbitkan bersama oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, Basstamam mengetengahkan susunan muzik yang tenang dan meresap ke jiwa, sesuai untuk dinikmati sewaktu bersantai atau merenung makna kehidupan.
“Saya harap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa ‘Basstamam’ itu dalam hati.
“Kita semua perlukan ketenangan dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji,” kongsinya.
Video muzik (MV) Basstamam turut menjalani penggambaran yang mencabar tetapi penuh semangat.
“Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat beri sokongan, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini,” katanya.
Keseluruhan pembikinan lagu ini disokong oleh tenaga kerja kreatif yang ikhlas dan berdedikasi.
“Semua yang terlibat sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka,” ungkapnya.
Basstamam kini tersedia di semua platform penstriman digital.
Dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan, lagu ini dijangka mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.
“Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” katanya penuh berharap.
Untuk info, Basstamam telah meraih banyak perhatian di media sosial dengan lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 ciptaan di Instagram.
Para peminat juga secara organik telah mencipta satu trend yang dinamakan ‘Wahai Bulan Purnama’. Ia merupakan trend peralihan di mana orang ramai menunjukkan diri mereka yang dahulu dan bagaimana mereka telah berubah menjadi lebih baik.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

