Sudah tiba masanya Kerajaan mempertimbangkan secara serius cadangan pelaksanaan diyat iaitu pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah atau pesalah dalam sistem perundangan di negara ini.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, lazimnya apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti ini (akibat perbuatan cuai pihak lain), pihak mangsa akan menanggung kesan kemalangan tersebut tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Biasanya pihak mangsa akan menanggung seluruh bebanan tersebut. Fenomena ini sebenarnya membebankan mangsa. Ia bukan sekadar terpaksa mengalami kesakitan atau kematian bahkan mengalami kerugian wang ringgit untuk kos perubatan dan sebagainya.
Dalam konteks ini kedudukan mangsa seolah-olah teraniaya oleh keadaan. Ia seolah-olah ibarat pepatah Melayu “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Namun ini akan berbeza sekiranya konsep diyat diamalkan, kedudukan mangsa akan terbela melalui wang pampasan yang diwajibkan ke atas pihak pesalah. Sekaligus ia dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian mengemis dan merempat serta menagih simpati orang ramai
Begitu juga dalam kes pembunuhan, hak diyat sepatutnya diberikan selepas mahkamah mendapati tertuduh itu bersalah. Maksudnya mahkamah perlu memberikan hak kepada keluarga mangsa untuk membuat pilihan sama ada meneruskan hukuman mati, (qisas) atau memilih hukuman diyat atau memaafkan pesalah tanpa sebarang hukuman.
Namun dalam undang-undang jenayah yang diguna pakai hari ini, iaitu berasaskan kanun keseksaan, peruntukan berkaitan diyat dan kemaafan tidak dimasukkan. Mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan seperti hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebat.
Ujarnya lagi, jika hukuman berbentuk diyat dan kemaafan hendak dikuatkuasakan maka parlimen sewajarnya meminda undang-undang berkaitan bagi membolehkan hakim menyerahkan pilihan kepada keluarga mangsa. Inilah langkah yang patut diambil oleh pemimpin Kerajaan Persekutuan jika ingin memartabatkan hukuman diyat.
Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, isu yang timbul adalah kemampuan pesalah untuk membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, saya mencadangkan agar beberapa badan berautoriti turut terlibatkan seperti takaful yang difikirkan bersesuaian kerana mereka ini termasuk dalam asnaf al-gharimin dan juga keluarga dan kaum kerabat sebagaimana dibincangkan oleh fuqaha di dalam bab a’qilah
Justeru kesemua pindaan ini adalah sangat wajar sebagai satu bentuk pencegahan kepada orang ramai. Namun begitu, pindaan-pindaan yang dibawa ini dilihat lebih menumpukan kepada pemandu mabuk atau pelaku kesalahan yang mencederakan mangsa.
Sedangkan mangsa dan ahli keluarga mangsa juga memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya. Dalam hal ini undang-undang sedia ada juga perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa
Tidak dapat dinafikan mekanisme perlindungan dalam bentuk pampasan atau diyat sebenarnya telah pun wujud dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. Namun begitu penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada sangat diperlukan bagi memastikan ia dapat membela kepentingan mangsa atau ahli keluarga mangsa sebaik mungkin
Oleh yang demikian, wujud keperluan bagi pemerkasaan undang-undang diyat bagi mangsa kemalangan dilakukan melalui pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah Kanun Tatacara Jenayah (akta 593) (KTJ) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) (APJ 1987)
Zulkifli turut menegaskan sekali lagi bahawa dia menyokong penuh usaha kerajaan kerana ia dilihat lebih dekat penyelesaiannya mengikut neraca syariah dan memberi keadilan terhadap semua pihak” kata beliau dalam perkongsian di Facebooknya melalui aplikasi al-Inarah.
Beliau berkata demikian susulan insiden kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun berdekatan Tasik Banding Gerik pada awal pagi Isnin. Kemalangan tersebut turut meragut 15 nyawa.
Pengertian diyat
Sementara itu dalam memahami konteks diyat, dari segi istilah dalam kalangan ulama Syafi’iyyah diyat adalah “harta yang wajib disebabkan perlakuan jenayah terhadap orang yang merdeka, baik dalam soal kehilangan nyawa ataupun yang lebih rendah daripadanya”
Diyat bermaksud sejumlah harta yang diwajibkan dengan perlakuan jenayah terhadap nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya. Al-Arsh pula ialah sejumlah harta yang diwajibkan kadarnya menurut syarak dengan perlakuan jenayah terhadap apa-apa yang tidak membabitkan nyawa iaitu tidak melibatkan diyat sempurna terhadap mana-mana anggota.
Berdasarkan penjelasan ini diyat diertikan sebagai tebusan nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya sedangkan arsh pula adalah diyat anggota.
Diyat juga dapat difahami sebagai hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab-sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris.
Meskipun terdapat pelbagai pengertian diyat, namun pada asasnya kesemua pengertian tersebut mempunyai maksud yang hampir sama iaitu sejumlah harta yang wajib dibayar oleh pelaku penjenayah dan diberikan kepada mangsa jenayah atau walinya sebagai hukuman dan pampasan akibat daripada sesuatu perbuatan jenayah seperti kesalahan jenayah membunuh atau mencederakan anggota badan seseorang dengan cara tidak sengaja.
Untuk memahami lebih lanjut konsep diyat, boleh layari apps al-Inarah https://zulkiflialbakri.com/3-ke-arah-pelaksanaan-diyat-dalam-sistem-perundangan-malaysia/?
_______________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

