Sejak sekian lama Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang berteraskan dasar Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Dasar ini jelas termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Tafsiran Islam pula telah diperincikan menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 pada tahun 1984 yang antara lain memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Manakala Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan antaranya “hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ialah undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Selain itu ia turut memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Oleh itu sebarang penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.
Muzakarah turut menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini tertakluk kepada undang-undang Islam hukum syarak yang berasaskan pegangan kepada Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang sederhana atau wasatiah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. penggunaan istilah Ahli Sunnah Wal Jama’ah belum lagi wujud walaupun perkataan as-Sunnah sudah pun digunakan oleh Baginda s.a.w.
Penggunaan terawal istilah ini hanya didapati sejak zaman para sahabat, dan ia semakin meluas pada zaman salafussoleh sebelum kemunculan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Hasan al-Ash’ari. Dan kemudian ia berkembang hinggalah ke zaman kini.
Dalam konteks di Malaysia hari ini, walaupun Majlis Jawatankuasa Fatwa telah menetapkan Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran mazhab Asya’irah dan Maturidiyah serta fekah berdasarkan mazhab Imam as-Syafie sebagai pegangan utama umat Islam, namun terdapat segelintir masyarakat Islam yang berpendapat bahawa tidak mengapa jika berpegang dengan fahaman selain dari Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Ini kerana berpegang dengan fahaman selain Ahli Sunnah Wal Jama’ah bukan bermakna keluar dari agama Islam, tetapi ia sekadar fahaman berbeza dengan pegangan umat Islam majoriti. Justeru tidak mengapa seseorang berpegang dengan fahaman selain Ahli Sunnah seperti fahaman Syiah, Khawarij, Mujassimah, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Daesh, Salafiah Wahabiah yang melampau, fahaman Sufi yang menyeleweng atau fahaman-fahaman yang lain.
Tidak dinafikan sejak akhir-akhir ini ada usaha pihak tertentu mewujudkan kekeliruan bagi menimbulkan kecelaruan tentang siapakah yang dikatakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Malah ada juga yang menuduh Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran Asya’irah dan Maturidiyah sebagai golongan yang sesat terutama apabila mengaitkan dengan sifat 20 Allah Taala.
Justeru untuk memahami dan merungkai takrifan sebenar siapa Ahli Sunnah Wal Jama’ah, apakah umat Islam wajib mengikut aliran ini, benarkah ia sesat sebagaimana yang didakwa, maka Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah mengambil inisiatif menerbit e-book “Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah: Siapakah Mereka?
E-book ini boleh di muat turun secara percuma di https://bukudrzulkifli.com/alinarah/ Menurut Dr. Zulkifli segala yang dikongsikan di dalam e-book ini adalah hasil dapatan kajian yang disandarkan kepada rujukan “primer” dan rujukan “sekunder” yang sahih.
“Jawapan yang kami bina lebih kepada perincian hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan syurrah al-hadis yang mensyarahkannya” ujarnya.
Selain itu turut disertakan juga pandangan ulama yang terdahulu dan yang kemudian di mana ia dibahagikan kepada dua kelompok. Disertakan juga ciri-ciri Ahli Sunnah dan pembahagiannya bagi memudahkan pembaca memahami dengan lebih jelas siapa sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Sementara itu mengulas lanjut, ujarnya lagi, penerbitan e-book ini rentetan dari pertanyaan sahabat-sahabat dan YB ahli parlimen yang inginkan pengesahan dan dan takrifan beliau tentang Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang sebenar.
Ini berkemungkinan dari pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 di dewan rakyat baru-baru ini yang antara lain menyebut mengenai perkara 4 yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari sudut akidah bersumberkan aliran Asya’irah dan Maturidiyah, feqh mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab yang lain dan tasauf Imam Ghazali dan Imam Junaid.
Semoga dengan perkongsian ilmu melaui e-book ini menjadikan kita lebih faham siapa sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jama’ah, dan kenapa kita wajib berpegang dengan aliran ini. Wallahu a’lam
______________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

